SUKAN > BERITA

Piala Dunia Berbasikal Trek: Malaysia Harungi Permulaan Mencabar Di Nilai

24/04/2026 10:45 PM

NILAI, 24 April (Bernama) -- Skuad berbasikal trek negara memulakan saingan Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 dengan langkah mencabar apabila gagal menempatkan diri dalam perebutan pingat bagi beberapa acara yang dipertandingkan di Velodrom Nasional, Nilai di sini hari ini.

Dalam acara perlumbaan penyingkiran wanita, Nur Aisyah Mohamad Zubir menamatkan aksi final di kedudukan ke-21 sementara Muhammad Hafiq Mohd Jafri menduduki tempat ke-18 dalam final lelaki.

Nur Aisyah, yang mencipta kejutan meraih pingat emas acara scratch pada Sukan SEA 2025 di Thailand, mengakui tidak berpuas hati dengan aksinya dan menyifatkan kesilapan taktikal sebagai punca utama apabila terperangkap dalam kelompok sehingga menyukarkan beliau untuk melakukan pecutan.

“Saya kurang berpuas hati, mungkin sedikit leka kerana rentak perlumbaan sangat laju... apabila saya berada di hadapan, saya rasa sudah tersilap taktikal dan apabila berada dalam situasi itu, saya sudah tiada ruang untuk melakukan pecutan,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan di sini.

Sementara itu, trio pecut berpasukan wanita negara yang dibarisi Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Mohd Farid terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada pasukan Poland.

Poland yang diwakili Marlena Karwacka, Nikola Seremak dan Nikola Sibiak mencatat masa 47.673 saat (s) berbanding skuad negara yang merekodkan 48.297s.

Mengulas prestasi hari ini, Anis Amira berkata mereka tidak kecewa sepenuhnya kerana catatan masa yang dilakukan hampir menyamai rekod kebangsaan iaitu 48.086s.

“Saya tidak kata kami kecewa kerana catatan masa kami agak hampir dengan rekod kebangsaan... pada masa sama, saya baru pulih daripada demam dan Izzah juga tidak sihat ketika ini, jadi untuk kami masih mampu mencatat masa yang baik adalah sesuatu yang positif.

“Ketika kelayakan, kami hanya fokus untuk melakukan yang terbaik bagi mara ke pusingan seterusnya. Dalam pusingan pertama, kami mahu memperbaiki catatan masa itu namun mungkin keadaan trek sedikit berubah dan tekanan juga menjadi faktor,” katanya.

Dalam pada itu, skuad pecut berpasukan lelaki negara diwakili Mohd Akmal Nazimi Jusena, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Adib Andhar Andan, yang menggantikan Muhammad Ridwan susulan kecederaan, terkandas di pusingan kelayakan selepas mencatat masa kedua paling perlahan iaitu 45.704s.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan