GEORGE TOWN, 13 April (Bernama) -- Pulau Pinang akan memastikan perancangan logistik, termasuk pengurusan trafik ke lokasi, menjadi antara fokus utama sepanjang penganjuran Sukan SEA Malaysia 2027 bagi kluster negeri itu, susulan beberapa projek infrastruktur berskala besar yang sedang berjalan dan dijangka memberi kesan kepada pergerakan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata aspek logistik termasuk pergerakan atlet, pegawai dan penyokong kini sedang diperhalusi dengan mengambil kira sekurang-kurangnya tiga projek mega yang sedang dilaksanakan.
“Ia melibatkan beberapa projek, antaranya pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, penyuraian trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua, serta kerja pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Insentif Atlet Pulau Pinang, Penyerahan Skim Insentif Kemenangan Sukan Para ASEAN 2025 dan Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Induk Pengelola Sukan SEA Malaysia 2027 Kluster Pulau Pinang yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Mengulas lanjut, Gooi berkata faktor keselesaan penyokong dan penonton yang hadir menyaksikan temasya sukan serantau itu turut diberi perhatian dalam perancangan keseluruhan.
Sementara itu, beliau berkata persiapan keseluruhan bagi penganjuran temasya itu kini berada pada peringkat akhir, termasuk selesai mengadakan bengkel penyelarasan bersama agensi berkaitan.
“Seterusnya, kami akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Sukan Kebangsaan bagi memperincikan aspek teknikal sebelum dibawa ke Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2027 (MASOC 2027).
“Jawatankuasa pengelola di Pulau Pinang kali ini turut terdiri daripada mereka yang berpengalaman menganjurkan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. Justeru, temasya 2027 bukan perkara baharu dan kami yakin mampu melaksanakannya dengan baik,” katanya.
Beliau berkata senarai penuh venue pertandingan akan diumumkan selepas semua perbincangan dimuktamadkan.
Dari segi fasiliti, katanya Pulau Pinang tidak memerlukan pembinaan venue baharu kerana semua acara yang dipertandingkan adalah sukan dalam dewan dan akan menggunakan kemudahan sedia ada, termasuk pusat konvensyen yang lengkap serta berupaya menjadi lokasi penganjuran yang sesuai.
Pulau Pinang dipilih sebagai salah satu kluster utama penganjuran Sukan SEA Malaysia 2027 yang dijadual berlangsung pada 18 hingga 29 Sept 2027, dengan menumpukan kepada enam acara sukan iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, ping pong serta floorball.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial