MELAKA, 11 April (Bernama) -- Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membelanjakan kira-kira RM1 juta bagi melaksanakan lapan projek dan aktiviti sosial untuk komuniti di Kampung Alai menerusi Program Kampung Angkat (KAM) MADANI.
Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata antara projek dilaksanakan ialah pembinaan gelanggang futsal berbumbung, menaik taraf kemudahan Masjid Al-Falihin termasuk pemasangan karpet serta kamera litar tertutup (CCTV), selain penambahbaikan premis ekonomi komuniti.
Beliau berkata program itu turut merangkumi pemasangan lampu di tapak perkuburan baharu, pembinaan mercu tanda Kampung Alai, pelaksanaan program pembangunan pendidikan dan kesihatan serta penyerahan sumbangan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), sekolah dan golongan asnaf.
"Program ini bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan infrastruktur, malah turut memperkasa aspek pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat, selaras dengan peranan UPNM sebagai universiti pertahanan negara.
"Inisiatif menyeluruh ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan fizikal kampung malah turut memperkukuh kesejahteraan sosial serta kualiti hidup penduduk," katanya dalam kenyataan selepas Majlis Penyerahan Projek Program KAM UPNM di Kampung Alai di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, beliau turut menyerahkan projek berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Arman Rumaizi berkata penglibatan dalam Program KAM mencerminkan komitmen UPNM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja menumpukan kecemerlangan akademik dan pertahanan, malah menyumbang kepakaran serta sumber universiti bagi memperkasa pembangunan komuniti secara mampan.
"Ia juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti melalui pemindahan ilmu, perkongsian kepakaran serta pengukuhan jaringan strategik antara universiti dan komuniti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.
Dalam pada itu, Pusat Kesihatan UPNM turut melaksanakan program kesejahteraan komuniti yang merangkumi saringan kesihatan percuma, ceramah kesedaran kesihatan, vaksinasi influenza serta pameran bantuan asas kecemasan yang terbuka kepada penduduk Kampung Alai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial