KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) mendapatkan khidmat dua bekas jurulatih kebangsaan dalam sukan olahraga, dan boling bagi memperkukuh persiapan menghadapi Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (APDG) 2026 di Pulau Pinang pada Oktober ini.
Presidennya, Dr Ong Shin Ruenn berkata dua jurulatih itu Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah (olahraga) dan Holloway Cheah (boling) telah menyertai kem latihan atlet sejak Februari lepas.
Kedua-dua mereka diharapkan dapat membantu Malaysia menggondol seberapa banyak pingat emas pada temasya itu selepas membawa pulang empat pingat emas pada edisi 2024 di Kuala Lumpur.
"MSDeaf berbangga dapat memperoleh jurulatih ternama, yang ada hasil daripada sukan normal. Tapi kita harapkan pengalaman beliau (Muhammad Amir) untuk melatih atlet pekak supaya boleh adaptasi yang sama kepada atlet sedia ada. Saya melihat ini sebagai yang positif.
"Jurulatih Holloway pula boleh cari jalan untuk membantu pasukan boling dari segi penandaan dan sebagainya. Selain memberi tambahan idea serta teknik baharu supaya dapat bertanding setaraf dengan atlet normal," katanya kepada Bernama pada Majlis Sambutan Hari Raya MSDeaf, di sini hari ini.
Ong berkata walaupun terdapat cabaran dalam menyesuaikan pendekatan latihan antara jurulatih dan atlet, perkembangan semasa menunjukkan petanda positif menjelang temasya berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata Muhammad Amir yang pernah mencorak kejayaan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi kini giat memperkukuh aspek prestasi atlet olahraga, manakala Holloway menumpukan kepada penambahbaikan teknik dan strategi pasukan boling.
“Bagi sukan boling mereka berlatih di Sunway, manakala olahraga bertempat di Kompleks Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sebahagian lagi di kompleks Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya.
Beliau berkata selain olahraga dan boling, MSDeaf turut mempertingkatkan persiapan dalam sukan badminton bagi menambah peluang meraih pingat.
“Untuk badminton, kita sedia maklum cabaran kuat dari Korea Selatan dan Jepun. Namun, kita kekal positif dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN) dalam menilai kekuatan atlet serta meningkatkan pembangunan kendiri mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial