SUKAN > BERITA

Sabah Teliti Keperluan Naik Taraf 17 Kompleks Sukan, Stadium - Nizam

11/03/2026 10:44 AM

PENAMPANG, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah sedang meneliti keperluan menaik taraf kira-kira 17 kompleks sukan dan stadium di negeri itu, susulan beberapa siri lawatan bagi menilai tahap penyelenggaraan serta keadaan kemudahan sukan sedia ada.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata usaha itu bertujuan memastikan fasiliti sukan setiap kompleks sukan dan stadium berada dalam keadaan selesa serta selamat digunakan oleh orang ramai.

Beliau berkata antara yang dikenal pasti memerlukan perhatian ialah trek larian di Stadium Penampang memandangkan kemudahan sedia ada berada dalam keadaan daif dan memerlukan pembaikan serta kerja naik taraf.

“Belum dapat lagi berapa anggaran kos dan masih pada peringkat penilaian. Saya telah meminta pegawai kementerian khususnya Lembaga Sukan membuat penilaian dan anggaran bagi membolehkan permohonan peruntukan dikemukakan kepada kerajaan khususnya Kementerian Kewangan.

“Ini bagi memastikan kemudahan trek larian di Stadium Penampang dapat dibaiki demi memberikan keselesaan kepada atlet atau orang ramai yang menggunakannya,” katanya kepada pemberita, malam tadi.

Beliau ditemui selepas menghadiri Program Iftar dan Sumbangan Ramadan kepada golongan asnaf, anak yatim serta ibu tunggal anjuran Pertubuhan Masyarakat Interaktif Suara Sabah dan Pertubuhan Kebajikan Cahaya Sabah, di sini.

Mengulas lanjut, Nizam berkata setakat ini beliau telah meninjau keadaan di tiga kompleks sukan di Sabah, iaitu Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Kompleks Sukan Penampang dan Kompleks Sukan Sandakan.

Beliau berkata kebanyakan kompleks sukan berkenaan memerlukan penyelenggaraan dan kerja naik taraf.

“Saya juga turun meninjau keadaan (pembinaan) Kompleks Sukan Tongod yang terbengkalai. Kementerian telah mengambil tindakan dengan menamatkan kontrak kontraktor berkaitan dan akan menawarkan (semula) kontrak kepada syarikat baharu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan