KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Pembukaan rasmi MyAthlete Centre membuka lembaran baharu dalam landskap pembangunan atlet negara yang memberi penekanan menyeluruh terhadap kebajikan, kesihatan mental dan jaminan masa depan mereka.
Inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) itu dilihat sebagai pelengkap kepada ekosistem sukan berprestasi tinggi negara, bukan sahaja dalam aspek latihan dan pencapaian, malah merangkumi kesejahteraan menyeluruh atlet.
Bekas atlet boling kebangsaan yang juga juara dunia 2017, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi berkata beliau amat berbangga atas usaha proaktif kerajaan dalam merealisasikan pusat sehenti berkonsepkan hibrid itu yang disifatkan amat relevan dengan keperluan atlet masa kini.
Mengimbau pengalamannya sebagai atlet sekitar 17 tahun lepas, beliau menyifatkan kemudahan pada ketika itu masih asas dan agak terhad.
“Jadual latihan atlet masa kini sangat padat dan mencabar, bukan sahaja dari sudut fizikal malah mental. Sebelum ini, kekurangan ruang rehat yang interaktif menyebabkan atlet lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar, yang sebenarnya kurang membantu proses pemulihan secara optimum.
“Dengan adanya MyAthlete Centre, atlet kini mempunyai ruang khas untuk ‘reset’ minda. Fasiliti rekreasi seperti bilik karaoke dan ruang permainan membolehkan mereka melepaskan tekanan serta berinteraksi dalam persekitaran yang sihat dan positif,” katanya.
Dalam masa sama, Afifah yang dilantik sebagai Jurucakap MyAthlete Centre tekad memanfaatkan pengalaman luasnya bagi merapatkan jurang komunikasi antara atlet, selain menyalurkan maklumat kepada masyarakat.
“Berdasarkan pengalaman lalu, atlet junior kadangkala berasa segan untuk menyuarakan pandangan kepada pegawai pengurusan. Peranan kami sebagai jurucakap adalah menjadi pengantara sebagai ‘kakak’ atau ‘abang’ yang boleh mereka dekati dengan selesa, sama ada berkaitan isu prestasi mahupun kesihatan mental.
“Pada masa sama, kami turut membantu MSN mempromosikan program pembangunan diri seperti pengurusan kewangan, keusahawanan dan pembinaan penjenamaan peribadi yang positif di media sosial,” katanya.
Sementara itu, bekas ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, menyifatkan pusat ini sebagai lembaran baharu apabila bakal diuruskan sendiri oleh barisan atlet.
Beliau berkata pendekatan tersebut membuka peluang keemasan kepada atlet untuk menceburi bidang keusahawanan secara praktikal, sekali gus membantu menyediakan jaminan kewangan dan hala tuju kerjaya selepas bersara.
“Lebih istimewa, pusat ini akan diuruskan sendiri oleh atlet. Ia merupakan platform keusahawanan yang sangat praktikal dan proaktif hasil cetusan idea MSN dan KBS,” katanya.
Pada 26 Feb lalu Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufik Johari melancarkan MyAthlete Centre yang merupakan merupakan pusat pertama seumpamanya di Malaysia berfungsi sebagai ruang riadah dan santai khusus buat atlet negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial