SUKAN > BERITA

Mohd Azizulhasni Tetap Jadi Sandaran Negara

26/02/2026 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohamad Azizulhasni Awang akan terus menjadi sandaran untuk beraksi pada dua siri Piala Dunia, Sukan Komanwel 2026 di Glasgow dan Sukan Asia di Aichi Nagoya, Jepun, 

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata khidmat The Pocket Rocketman masih ditagih dalam usaha negara memburu pingat emas.

“Beliau kini bertanding sebagai atlet profesional, namun telah memaklumkan kepada PKBM untuk meneruskan saingan hingga Sukan Asia. Justeru, penglibatannya bersama skuad kebangsaan hingga Sukan Asia terjamin. Penyertaan dalam kejohanan selepas itu masih belum dapat dipastikan.

“Beliau membuat persiapan sendiri sebagai pelumba bebas. Beliau seorang atlet matang yang memahami apa yang dipertaruhkan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) 2026 di Majlis Sukan Negara di sini hari ini. 

Sementara itu, Amarjit berkata pencapaian atlet berusia 38 tahun itu di temasya Sukan Asia akan menjadi penentu sama ada layak beraksi di Kejohanan Dunia Trek di Shanghai China, Oktober depan.

Piala Dunia Trek dijadual berlangsung di Perth, Australia pada 6 hingga 8 Mac, diikuti aksi di Velodrom Nasional Nilai, pada 24 hingga 26 April.

Dua lagi temasya sukan iaitu Sukan Komanwel 2026 yang berlangsung pada 23 Julai hingga 2 Ogos, manakala Sukan Asia pada 19 Sept hingga 4 Okt.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan