SUKAN > BERITA

Stadium Tuanku Syed Putra Tuan Rumah Baharu Imigresen FC

19/02/2026 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis kini menjadi tempat perlawanan pasukan tuan rumah baharu buat pasukan Imigresen FC bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2025-2026 berkuat kuasa serta-merta.

Imigresen FC sebelum ini beraksi di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

Perkembangan itu disahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan dimuat naik di laman Facebook hari ini.

“Pindaan tempat perlawanan ini dibuat atas permohonan Imigresen FC dan telah mendapat kelulusan MFL selepas pemeriksaan dijalankan pada 4 Feb 2026, berikutan tempat perlawanan asal tidak dapat digunakan bagi perlawanan sebelah malam,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MFL memaklumkan perlawanan melibatkan Kelantan The Real Warriors FC selaku tuan rumah pula akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor berbanding Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu sepanjang bulan Ramadan kali ini.

“Pindaan tempat perlawanan ini adalah kerana Warta Negeri Kelantan yang telah menetapkan tiada aktiviti sukan dan hiburan dibenarkan di negeri itu sepanjang bulan Ramadan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan