SUKAN > BERITA

Benam Melaka 5-0-, Munoz Mahu JDT Terus Fokus

14/02/2026 10:47 AM

ISKANDAR PUTERI, 14 Feb -- Tugas Johor Darul Ta'zim (JDT) masih belum selesai meskipun sudah selangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas mempamer aksi dominan ketika membelasah Melaka 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini malam tadi.

Ketua Jurulatih JDT  Xisco Munoz berkata cabaran untuk mara ke separuh akhir tidak harus dipandang mudah meskipun mencatat kemenangan besar, sambil menegaskan falsafah kelab itu menuntut tahap konsistensi yang paling tinggi.

Beliau menegaskan pasukan perlu terus berusaha dan pada masa sama menghormati keupayaan lawan, serta menyatakan bahawa JDT perlu mempamer tahap terbaik mereka dalam perlawanan timbal balik pada 25 Feb ini menentang pasukan kendalian E.Elavarasan itu.

“Kita perlu terus berjuang dan mempunyai rasa hormat kepada keupayaan lawan. Kita akan bermain dengan baik ketika menentang mereka nanti dan mempamerkan prestasi pada tahap tertinggi serta memberikan yang terbaik pada perlawa,” katanya pada sidang media selapas perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi. 

Munoz menyifatkan setiap perlawanan sebagai sebahagian proses pembangunan berterusan pasukan itu, sambil menegaskan peningkatan prestasi kekal menjadi objektif utama dalam falsafah permainan kelab.

Beliau turut memuji aksi pemainnya terutama Ajdin Mujagic, yang meledak hatrik untuk mengetuai kemenangan besar JDT. 

Munoz berkata kemenangan itu juga menjadi suntikan semangat yang tepat menjelang pertembungan JDT dengan Vissel Kobe dalam Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Elite (ACL Elite) pada 17 Feb ini di SSI. 

Sementara itu, Elavarasan berkata beliau mahu pasukannya kembali fokus menjelang aksi timbal balik menentang juara bertahan itu dan akan melakukan penilaian menyeluruh bagi memperbaiki kelemahan.

Beliau mengakui tugas tersebut bukan mudah buat anak buahnya selain perlu menerima hakikat bahawa mereka berdepan pasukan yang kuat, sekali gus menuntut pasukan agar turut memberikan persembahan terbaik dalam saingan Liga Super.

“Ia bukan tugas mudah untuk pasukan kembali bangkit, kita kena terima realiti yang kita berdepan dengan pasukan yang kuat. Buat masa ini kita hanya perlu akur, kita kalah kepada pasukan yang lebih baik dan fokus untuk perlawanan selepas ini,” katanya.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan