KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Jaguh renang negara Khiew Hoe Yean dan ratu wusyu Tan Cheong Min masing‑masing menjadi atlet lelaki serta wanita kebangsaan yang menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) tertinggi bagi Sukan SEA 2025.
Pada Majlis Penyampaian SHAKAM Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2025 di sini hari ini, Hoe Yean yang memenangi dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa membawa pulang RM32,000 sebagai ganjaran kejayaan pada temasya sukan dwitahunan itu.
Hoe Yean memenangi emas acara 200 meter (m) dan 400 m gaya bebas, selain perak 4x200 m gaya bebas dan gangsa 4x100 m gaya bebas pada Disember tahun lepas.
Cheong Min yang juga juara dunia 2019 pula menerima RM26,666.67 selepas merangkul dua emas masing-masing dalam acara gabungan Nanquan, Nandao dan Nangun serta acara Dulilian.
Pada masa sama, hoki merangkumi disiplin padang, dalam dewan dan lima sebelah muncul sukan yang menerima ganjaran tertinggi iaitu RM316,800 susulan kejayaan membawa pulang tiga emas dan tiga perak.
Kriket yang meraih dua emas dan masing-masing satu perak dan gangsa menjadi sukan kedua menerima ganjaran tertinggi, iaitu RM247,200 manakala olahraga ketiga dengan RM150,000 selepas memenangi lima emas, lima perak dan enam gangsa serta memecahkan tiga rekod temasya.
Dalam pada itu, dua atlet renang para Abdul Halim Mohammad dan Carmen Lim muncul penerima tertinggi bagi SHAKAM Sukan Para ASEAN 2025 lelaki dan wanita selepas masing-masing membawa pulang RM62,000 dan RM39,000.
Olahraga para yang menggondol 20 emas, 22 perak dan 23 gangsa serta mencipta 10 rekod temasya menjadi sukan yang mendapat insentif tertinggi dengan RM550,800.
Renang para kedua tertinggi selepas meraih RM344,400 dengan kutipan 13 emas, 20 perak dan 22 gangsa diikuti berbasikal para ketiga (RM217,200) selepas meraih sembilan emas, lima perak dan empat gangsa.
Sementara itu, Cheong Min menyifatkan habuan yang diterimanya itu adalah hasil usaha bersama pelbagai pihak sepanjang tempoh persiapan yang padat.
“Jadual pertandingan saya bermula dari Julai hingga Disember dengan kemuncaknya Sukan SEA. Sepanjang tempoh itu, semua pihak MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), MOM (Majlis Olimpik Malaysia), KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan Persekutuan Wushu Malaysia berikan sokongan,” kata atlet berusia 27 tahun itu.
Beliau berkata ganjaran SHAKAM yang diterimanya itu akan disimpan untuk kegunaan pada masa hadapan, sama seperti ganjaran terdahulu yang digunakan bagi menampung kos pengajian di peringkat sarjana.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari menyampaikan insentif pada majlis yang turut dihadiri timbalannya Mordi Bimol, Ketua Setiausaha KBS Datuk Dr K Nagulendran dan Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial