KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Berpisah dengan Go Pei Kee baru-baru ini tidak mematahkan semangat pemain beregu wanita negara Teoh Mei Xing untuk terus bersaing di pentas antarabangsa.
Pemain berusia 28 tahun itu menegaskan beliau masih kekal cergas dan bersedia beraksi pada kejohanan akan datang.
Justeru, Mei Xing akan membentuk gandingan sementara dengan pemain ramaja, Tan Zhing Hui dalam dua kejohanan di Singapura iaitu Cabaran Antarabangsa Singapura 2026 (24 Feb-1 Mac) dan Siri Antarabangsa Singapura 2026 (3-8 Mac).
“Pasangan baharu saya belum dimuktamadkan tetapi saya akan bermain dengan Zhing Hui memandangkan pasangannya (Gan Min Yee) mengalami kecederaan dan saya akan bergandingan dengan Zhing Hui hingga pasangannya pulih,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Ditanya mengenai punca berpisah dengan Pei Kee, Mei Xing berkata keputusan itu dibuat oleh Pei Kee.
“Ia bukan satu berita gembira buat saya tetapi saya tidak dapat mengubah keputusannya. Sudah tentu saya terkejut dan kecewa tetapi saya menghormati keputusan itu.
“Saya tidak rasa prestasi kami pada tahun lepas sangat buruk. Saya rasa ia masih boleh diterima dan boleh diperbaiki tetapi saya tak tahu apa yang ada dalam fikirannya,” katanya.
Mei Xing-Pei Kee mula bergandingan pada Jun 2024 dan berjaya mencapai ranking ke-18 dunia, dengan satu-satunya kejuaraan dimenangi ialah Malaysia Super 100 pada 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial