SUKAN > BERITA

Zii Jia Lonjak 24 Anak Tangga Ranking BWF

27/01/2026 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia kini menghuni kelompok 80 terbaik dunia dalam ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang diumumkan hari ini.

Juara All England 2021 itu yang mara ke pusingan kedua Masters Indonesia 2026 minggu lepas berjaya melonjak 24 anak tangga ke kedudukan 79 dunia dengan mengumpul 22,440 mata.

Leong Jun Hao kekal sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu negara selepas mendaki satu anak tangga ke kedudukan 29 dunia dengan 45,691 mata.

Zii Jia mempamerkan petanda positif Rabu lepas apabila menamatkan kemarau kemenangan selama 10 bulan dengan menewaskan pemain India H.S. Prannoy 21-19, 21-11 untuk mara ke pusingan kedua kejohanan Super 500 itu.

Bagaimanapun, perjuangan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu di Istora Senayan, Jakarta berakhir selepas tewas 21-15, 17-21, 8-21 kepada pemain Thailand Panitchaphon Teeraratsakul.

Zii Jia bergelut dengan kecederaan beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk kecederaan buku lali pada Kejohanan Akhir Jelajah Dunia Disember 2024 dan masalah belakang semasa Masters China September lepas.

Pemain kelahiran Kedah berusia 27 tahun itu membuat kemunculan semula pada Terbuka Malaysia 2026 awal tahun ini, selepas berehat selama 111 hari.

Dalam kategori perseorangan wanita, pemain kebangsaan K. Letshanaa melonjak dari kedudukan ke-42 ke tempat ke-38 dengan 36,938 mata selepas prestasi cemerlangnya mara ke separuh akhir Masters Indonesia, yang juga penampilan pertamanya dalam kelompok empat terbaik kejohanan Super 500.

Sementara itu, juara Masters Indonesia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kembali menduduki lapan terbaik dunia, naik satu anak tangga dengan 71,830 mata.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal beregu nombor dua dunia dengan 94,950 mata, manakala rakan sepasukan Man Wei Chong-Tee Kai Wun kekal di tempat keenam dengan 74,283 mata.

Dua lagi juara Masters Indonesia 2026 Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) turut mengekalkan kedudukan masing-masing.

Pearly-Thinaah di tempat kedua dengan 96,416 mata, manakala Tang Jie-Ee Wei di tangga keempat dengan 91,763 mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan