KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya untuk beraksi semula sementara menunggu keputusan muktamad rayuan ternyata memberi sinar baharu buat mereka.
Keputusan CA yang meluluskan Penangguhan Pelaksanaan terhadap Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel, menjadi khabar gembira kepada mereka yang sudah rindu untuk menyertai semula aktiviti bola sepak.
Holgado menerusi laman sosial Instagramnya berkata kebenaran itu adalah keputusan positif buat beliau setelah sekian lama melalui tempoh sukar.
"Apabila anda tidak menjangkakannya, matahari muncul semula dan semuanya baik-baik saja, tiada ribut yang kekal selamanya,” katanya.
Palmero pula memberikan reaksi ringkas bahawa mereka sudah kembali.
Sementara itu, Garces yang digantung daripada bermain dengan kelab La Liga Deportivo Alaves disahkan boleh menyertai semula latihan bersama rakan sepasukannya, menurut satu kenyataan rasmi.
Penyokong bola sepak tempatan turut memberikan reaksi positif susulan keputusan CAS yang disifatkan sebagai penting bagi mengekalkan momentum pasukan kebangsaan menjelang aksi kelayakan Piala Asia menentang Vietnam, Mac depan.
“Alhamdulillah, manisnya kekal tenang dan percaya dengan rezeki. Selamat kembali beraksi buat tujuh pemain tersebut,” kata Norizan Omar.
Pada 26 Sept lepas, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan FAM dan tujuh pemain warisan negara didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.
Siasatan mendapati FAM telah menyerahkan dokumen dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit hingga membolehkan mereka beraksi ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di sini pada Jun lepas.
Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
Harapan untuk melihat hukuman itu diringankan tidak kesampaian selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 Nov lepas, menolak rayuan FAM dan kesemua pemain sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib mengenai pelanggaran serius Artikel 22 FDC.
Justeru, FAM tidak mempunyai pilihan selain membawa kes itu ke CAS bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan badan berkaitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial