SUKAN > BERITA

Rejam Lembing Jadi Aksi Pemanas Badan Dalam Misi Buru Emas APG - Muhammad Ziyad

22/01/2026 08:23 PM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

NAKHON RATCHASIMA, 22 Jan (Bernama) -- Jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli memilih pendekatan santai ketika bertanding dalam acara rejam lembing F20 yang disifatkannya sebagai aksi pemanas badan menjelang acara sebenar beliau, iaitu lontar peluru pada Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025, esok.

Walaupun rejam lembing bukan acara kegemarannya, pemenang emas Sukan Paralimpik 2016 itu tetap turun ke padang dengan niat untuk menyumbang tambahan pingat buat kontinjen negara, sebelum menyedari ia bukan acara pingat.

"Saya berusaha sedaya upaya kerana ingin menyumbang pingat kepada negara. Hanya selepas pertandingan bermula, saya menyedari ia bukan acara pingat. Jadi, saya menganggapnya sebagai aksi pemanas badan dan menikmati saat itu kerana tiada tekanan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam acara rejam lembing itu, Muhammad Ziyad, 35, menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 40.85 meter (m) di belakang rakan sepasukan Eljoe Gotuoh menerusi rejaman sejauh 43.14m manakala seorang lagi wakil negara, Mohamad Aliff Mohamad Awi mencatat 21.60m.

Walaupun tiada pingat yang dianugerahkan, beliau berkata acara rejam lembing membolehkannya membiasakan diri dengan persekitaran pertandingan, sekali gus menyediakan persediaan mental dan fizikal yang diperlukan menjelang acara lontar peluru esok.

“Tak ada tekanan, tak ada sakit, semuanya baik. Saya boleh tengok keadaan padang, arah angin dan lebih bersedia untuk esok.

"Lagipun saya tidak boleh menarik diri daripada acara merejam lembing, jika tidak, saya akan hilang kelayakan untuk acara seterusnya," kata Ziyad sambil memaklumkan sasarannya dalam acara lontar peluru adalah untuk mendapatkan emas.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan