Daripada Farah Najihah Zuraimi
NAKHON RATCHASIMA, 19 Jan (Bernama) -- Impian skuad bola keranjang kerusi roda 3x3 lelaki negara untuk memburu pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Thailand berkecai selepas tewas tipis 11-13 kepada Filipina dalam aksi separuh akhir di Terminal 21 Korat di sini hari ini.
Kekalahan itu bagaimanapun tidak menamatkan sepenuhnya kempen Malaysia apabila berpeluang mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi pada edisi di Kemboja pada 2023.
Jurulatih pasukan Lim Ming Lip berkata kekalahan itu cukup perit, terutama Malaysia pada suatu ketika mendahului dan berjaya mengejar semula kedudukan sebelum melakukan kesilapan pada saat genting, sekali gus memberi ruang kepada Filipina untuk menempah slot ke final bertemu tuan rumah Thailand.
“Sebenarnya kami boleh menang ke atas Filipina. Pada satu ketika kami mendahului dan berjaya kejar semula tetapi pada masa kritikal, pemain tidak dapat mengawal permainan dengan baik. Namun saya tidak menyalahkan pemain.
“Kehilangan bola memberi peluang kepada mereka untuk mengambil alih permainan dan mendapatkan kelebihan,” katanya di sini hari ini.
Ming Lip ketika mengulas prestasi keseluruhan pasukan berkata aksi pada separuh akhir menunjukkan peningkatan berbanding aksi peringkat kumpulan namun masih belum berada pada tahap terbaik.
Beliau berkata antara aspek utama yang perlu diperbaiki ialah aksi pada awal permainan selepas pasukan dikenal pasti lambat mencipta mata serta memberi ruang kepada lawan untuk mengejar dan mengubah momentum perlawanan.
“Pada masa sama, kami sebenarnya ada tiga pemain mengalami demam dan pagi ini masih makan ubat. Jadi mereka agak lambat ‘pick up’. Badan lambat menyesuaikan diri dan bila sudah okey sudah lambat,” katanya.
Terdahulu, pada aksi peringkat Kumpulan A, Malaysia mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan apabila tewas kepada Thailand 8-14, kalah kepada Filipina 7-11, namun bangkit menewaskan Indonesia 10-6.
Malaysia dijadualkan menentang Indonesia pada perlawanan penentuan pingat gangsa pada Rabu ini (21 Jan).
Ming Lip berkata pingat gangsa itu tetap signifikan buat pasukan negara berdasarkan pelaburan jangka panjang yang telah dibuat dalam format 3x3 dengan menyertai pelbagai kejohanan sebagai persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial