KOTA BHARU, 10 Jan (Bernama) -- Pasukan Kelantan WTS FC bertekad untuk bangkit pada pusingan kedua Liga A1 Semi Pro 2025-2026 sekali gus memperbaiki kedudukan yang kini menghuni tangga kesembilan selepas 16 perlawanan.
Ketua Jurulatih Kelantan WTS FC Kamaruddin Muhammad berkata beliau enggan melihat skuad bimbingannya terus ketinggalan, sambil mengakui kedudukan semasa liga masih jauh daripada sasaran.
“Saya sedar berada di tangga kesembilan bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Namun baki aksi pusingan kedua memberi ruang untuk kami bangkit. Saya bertekad untuk membawa pasukan menamatkan saingan musim ini sekurang-kurangnya dalam kelompok lima terbaik,” katanya kepada Bernama hari ini.
Selepas 16 perlawanan, Kelantan WTS FC mengutip 22 mata hasil enam kemenangan, empat seri dan enam kekalahan.
Kamaruddin berkata aspek disiplin, fokus serta semangat juang tinggi perlu dipertingkatkan pemainnya bagi memastikan pasukan tidak lagi tercicir mata dalam perlawanan berikutnya.
“Pemain tidak boleh mengambil mudah sebarang perlawanan. Setiap aksi kini amat penting dan saya mahu melihat perubahan positif dari segi sikap serta komitmen di atas padang. Semua pemain perlu mematuhi perancangan pasukan dan beraksi dengan lebih bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata persiapan rapi yang dilakukan serta sokongan penyokong setia diyakini mampu membantu pasukan meraih keputusan positif pada baki perlawanan.
Bagi memperkukuh pasukan, Kelantan WTS FC turut membawa masuk tiga pemain import baharu pada jendela perpindahan kedua termasuk penyerang dari Congo, Emmanuel Masido.
Dua lagi pemain masing-masing dari Ghana, Arbdallah Dandy (pertahanan) dan Anthony Arthur (tengah).
“Kehadiran mereka meningkatkan kualiti permainan, intensiti serta kekuatan keseluruhan pasukan. Dalam dua perlawanan sebelum ini menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Perak FA, mereka mempamerkan kualiti tinggi dan keserasian dengan rakan sepasukan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial