SUKAN > BERITA

Persekutuan Renang Malaysia, Anderson Berpisah Selepas Sukan SEA

30/12/2025 12:11 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Persekutuan Renang Malaysia (MAS) dan ketua jurulatih kebangsaan Eric Anderson, bersetuju untuk menamatkan kerjasama secara bersama berkuat kuasa esok (31 Dis), susulan berakhirnya kempen Sukan SEA Thailand 2025.

MAS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dicapai apabila kedua-dua pihak bersedia melangkah ke fasa seterusnya dalam laluan masing-masing.

“MAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Eric atas sumbangan serta khidmat baktinya kepada pembangunan sukan akuatik negara, selain mendoakan kejayaan beliau dalam usaha akan datang,” menurut kenyataan itu.

Sebagai sebahagian daripada proses peralihan, MAS memaklumkan pihaknya telah melaksanakan pengaturan program interim bagi memastikan kesinambungan, kestabilan serta kebajikan atlet.”

MAS turut memaklumkan sebarang perkembangan lanjut berkaitan program renang kebangsaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“MAS kekal komited untuk terus menyokong atlet serta memperkukuh program prestasi tinggi kebangsaan sebagai persediaan menghadapi kejohanan antarabangsa akan datang,”menurut kenyataan itu.

Pada Sukan SEA 2025 yang baru berakhir, skuad renang negara meraih dua pingat emas, tiga perak dan lima gangsa, sekali gus memperbaiki pencapaian pada edisi 2023 di Kemboja yang menyaksikan satu pingat emas, tiga perak dan empat gangsa.

Anderson dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan pada Januari tahun lalu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan