SUKAN > BERITA

Pentauliahan Profesionalisme Pekerja Belia, Pemangkin Pembangunan Komuniti

11/11/2025 06:41 PM

SEREMBAN, 11 Nov (Bernama) -- Inisiatif pensijilan profesionalisme pekerja belia oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuhkan peranan membentuk generasi muda yang memiliki kepimpinan, karakter unggul serta mempunyai semangat sukarelawan.

Ketua Setiausaha KBS Datuk Dr K. Nagulendran berkata pentauliahan kepada pegawai belia dan sukan serta rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO) amat penting bagi membolehkan mereka melangkah lebih jauh dalam bidang kepimpinan dan profesionalisme.

Beliau berkata penerima pentauliahan itu juga menjadi ejen perubahan dan pemangkin kepada pembangunan komuniti belia di seluruh negara selaras dengan aspirasi Rakan Muda Mahir dan Dasar Belia Malaysia 2025.

“Dalam era cabaran sosial dan ekonomi semakin kompleks, peranan pegawai belia dan sukan serta pemimpin NGO belia bukan lagi sekadar melaksanakan aktiviti tetapi turut berfungsi sebagai penggerak dasar, penyelesai masalah komuniti serta pencetus inovasi sosial.

“Latihan profesionalisme seperti ini amat penting bagi memastikan setiap pegawai belia dan sukan sentiasa relevan, berkemahiran tinggi serta bersedia untuk berkhidmat dengan penuh integriti dan semangat perkhidmatan awam yang tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pentauliahan Profesionalisme Kerja Belia Kali Kedua 2025 di sini hari ini.

Pada majlis itu sebanyak 277 pekerja belia memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 termasuk dua pekerja belia pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) menerima Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).

Dalam pada itu, Nagulendran berkata pekerja belia juga berperanan menangani isu buli dalam kalangan generasi muda melalui pendekatan efektif, termasuk memberi nasihat dan bimbingan diperlukan.

“Usaha mengadakan pensijilan profesionalisme pekerja belia ini sekurang-kurangnya, pegawai belia dan sukan serta NGO mempunyai sijil bertauliah, mereka dapat menyantuni belia yang berdepan dengan pelbagai masalah.

“Kami tahu cabaran masa kini pelbagai terutamanya melalui media sosial. Jadi, menerusi profesionalisme pekerja belia ini, para belia boleh berhubung dengan pekerja yang bertauliah untuk mendapat panduan, nasihat dan sebagainya,” katanya.

Nagulendran berkata usaha itu juga selaras dengan inisiatif KBS menerusi Projek Dengar Rakan Muda yang menyediakan ruang selamat untuk golongan belia mendapatkan sokongan emosi dan sosial secara percuma bermula 1 Nov.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan