SUKAN > BERITA

Zuraidi Mahu Skuad Boling Padang Perkemas Aksi Hadapi Sukan Komanwel Glasgow

09/11/2025 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Skuad boling padang negara mungkin boleh berasa bangga selepas muncul juara keseluruhan Kejohanan Piala Dunia 2025 yang berakhir semalam, namun ketua jurulatihnya, Zuraidi Puteh, menegaskan masih terdapat aspek permainan yang perlu diperkemas menjelang Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, tahun depan.

Kejohanan edisi sulung yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara itu menyaksikan Malaysia meraih satu pingat emas dan tiga gangsa untuk dinobatkan selaku juara keseluruhan.

Pingat emas negara disumbangkan oleh pemain berpengalaman, Emma Firyana Saroji, yang menewaskan wakil England Katherine Rednall, 1-0, dalam aksi final acara singles wanita.

Kemenangan itu cukup bermakna buat atlet berusia 39 tahun berkenaan selepas tewas kepada lawan sama di peringkat kumpulan sebelum ini.

Tiga pingat gangsa negara pula diperoleh menerusi Nurul Alyani Jamil (singles wanita), Izzat Shameer Dzulkeple (singles lelaki) dan Jariah Zakaria (singles wanita para).

Zuraidi berkata pencapaian itu membuktikan peningkatan prestasi skuad negara di peringkat antarabangsa namun masih ada kelemahan kecil yang perlu diberi perhatian.

“Kita hampir mencapai keputusan lebih baik, tetapi terdapat beberapa kesilapan kecil yang sepatutnya boleh dielakkan.

“Oleh itu, kita akan menilai semula dan memperkukuh struktur latihan sedia ada. Setiap kesilapan menjadi pengajaran penting untuk menghadapi Sukan Komanwel tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas tamat kejohanan.

Menurut Zuraidi, penggunaan gelanggang mudah alih (portable rink) yang membolehkan pemain berlatih dalam simulasi pertandingan sebenar turut membantu memperkukuh persiapan mereka.

“Satu emas dan tiga gangsa ini menjadi penanda aras yang baik untuk empat tahun akan datang. Kami akan terus mempertingkatkan semua aspek bagi memastikan Malaysia kekal antara pasukan terbaik dunia,” katanya.

Tatkala Sukan Komanwel semakin hampir dan desas-desus kemungkinan sukan boling padang dipertandingkan pada Sukan Olimpik Brisbane 2032, Zuraidi percaya pemain negara kini bersemangat untuk mengekalkan momentum kejayaan dan terus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan