KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerja menaik taraf Kompleks Sukan Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru bagi dijadikan Akademi Sepak Takraw Malaysia dijangka siap dalam tempoh tiga bulan lagi, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Beliau berkata projek bernilai RM6 juta itu akan menjadikan kompleks berkenaan pusat latihan sepak takraw paling lengkap di Asia, seiring dengan usaha berterusan Malaysia untuk mengekalkan peranan sebagai peneraju sukan tradisi rantau ini.
“Kita tidak berminat membina kemudahan baharu kerana lebih baik menaik taraf bangunan sedia ada bagi mengelak pembaziran. Model ini lebih efisien dan menjimatkan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja naik taraf akademi berkenaan di sini hari ini.
Hannah berkata akademi itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk penginapan atlet, gimnasium, bilik pembelajaran serta gelanggang latihan di bawah satu bumbung.
“Ini akademi sepak takraw eksklusif pertama di Asia dan mungkin di dunia. Ia menjadi simbol Malaysia sebagai peneraju sukan warisan rantau ini,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan peruntukan besar bagi pembangunan sepak takraw melalui pelbagai skim termasuk Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti, masing-masing berjumlah RM9 juta pada 2023, RM8 juta pada 2024 dan RM6 juta tahun ini.
“Daripada jumlah RM6 juta bagi projek ini, sebanyak RM5.5 juta diperuntukkan bagi kerja naik taraf infrastruktur manakala RM500,000 untuk penyediaan kelengkapan kemudahan dan peralatan.
“Kami juga mengalu-alukan penajaan daripada mana-mana pihak untuk hak penamaan akademi ini kerana potensi tontonan sepak takraw sangat tinggi, terutama apabila Malaysia beraksi di peringkat antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial