SUKAN > BERITA

Kejohanan Badminton Remaja Dunia: Noraqilah Maisarah-Zi Yu Mara Ke Final Beregu Wanita

18/10/2025 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Pasangan beregu wanita remaja negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Guwahati, India, pasangan negara yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan lawan mereka dari China, Cao Zi Han-Chen Fan Shu Tian 15-13, 12-15, 15-7 dalam tempoh 46 minit.

Menanti mereka di final esok adalah satu lagi pasangan dari China, Tan Ke Xuan-Wei Yue Yue yang mengejutkan pilihan pertama kejohanan dari Thailand Kodchaporn Chaichana-Pannawee Polyiam untuk menang 15-17, 15-11, 15-10 dalam tempoh 52 minit.

Ini merupakan final kedua berturut-turut buat Zi Yu dalam acara beregu wanita di kejohanan itu selepas melakukannya tahun lepas bersama pasangannya ketika itu, Nur Dania Sofea Zaidi.

Nur Dania Sofea terpaksa menarik diri pada edisi kali ini selepas mengalami kecederaan lutut. 

Sementara itu, hasrat Noraqilah Maisarah untuk turut mara dalam acara beregu campuran tidak kesampaian apabila beliau dan pasangannya Loh Ziheng tunduk kepada wakil Taiwan, Bing Fu Hung-Yun An Chou 15-13, 12-15, 8-15 dalam tempoh 40 minit.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan pasangan beregu campuran muda negara itu meraih pingat gangsa pada kejohanan tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan