KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Penerjun negara Muhammad Syafiq Puteh belum bersedia untuk menutup kisah perjuangannya di pentas Sukan SEA.
Masih segar dengan kejayaan meraih dua perak di Kejohanan Akuatik Asia 2025 di Ahmedabad, India baru-baru ini, Muhammad Syafiq sebaliknya memberi bayangan edisi 2027 berkemungkinan menjadi terjunan terakhirnya di pentas temasya sukan dwitahunan itu.
“Selagi mana saya boleh bertahan, saya akan cuba buat yang terbaik untuk Malaysia dan mungkin Sukan SEA terakhir saya dalam masa dua tahun lagi sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah.
“Bagaimanapun, saya juga perlu menilai tahap kemampuan fizikal,” kata penerjun berusia 30 tahun itu kepada pemberita sewaktu kunjungan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025 Nurul Huda Abdullah di venue latihan skuad terjun kebangsaan di sini hari ini.
Pada Kejohanan Akuatik Asia 2025, Muhammad Syafiq menyumbang pingat perak dalam acara 1 meter (m) papan anjal dan 3m papan anjal seirama lelaki bersama atlet muda Elvis Priestly Clement.
Mengenai sasaran pada Sukan SEA 2025 Thailand, beliau yang bakal membuat penampilan keenam pada temasya dwitahunan itu bertekad memburu hatrik emas 3m papan anjal selepas memenanginya pada edisi 2021 di Hanoi dan 2023 di Phnom Penh.
Sukan SEA 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial