KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) beriltizam membalas kepercayaan kerajaan selepas pengumuman peruntukan besar untuk pembangunan sukan dalam Belanjawan 2026, dengan matlamat melahirkan lebih ramai atlet negara berjaya di peringkat antarabangsa.
Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin, berkata peruntukan tersebut amat signifikan ketika pihaknya memulakan langkah memperkasakan program persiapan dan latihan atlet, terutamanya mereka yang tersenarai dalam Program Road to Gold (RTG), Program Podium dan Program Bakat di peringkat negeri.
“Tahun depan, atlet negara bakal menghadapi beberapa temasya utama termasuk Sukan Para ASEAN di Thailand, Sukan Asia dan Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya, Jepun, serta Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jefri turut memaklumkan MSN sudah memulakan persediaan jangka panjang untuk atlet menghadapi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 yang akan dianjurkan di Malaysia.
“MSN amat berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pengumuman peningkatan peruntukan bagi pembangunan sukan negara semasa pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat Jumaat.
“MSN juga menghargai peruntukan untuk pembangunan atlet para melalui program pembangunan di peringkat negeri, terutamanya bagi penyertaan pada Sukan Para SUKMA 2026,” katanya.
Semalam, Anwar mengumumkan pembangunan sukan negara akan terus diperhebat dengan peruntukan lebih RM580 juta, termasuk pemerkasaan sukan berprestasi tinggi melalui program RTG serta persediaan temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial