SUKAN > BERITA

Uruguay Bermain "Di Bawah Kemampuan Sebenar" - Bielsa

11/10/2025 12:54 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Jurulatih Uruguay, Marcelo Bielsa mengakui pasukannya jauh daripada prestasi terbaik mereka, selepas mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Republik Dominika yang berada pada ranking dunia ke-142, dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam tadi. 

Bielsa berkata pasukannya layak untuk menang, namun berasa lawan mereka lebih berpuas hati dengan prestasi dipamerkan. 

“Apa yang dapat saya rumuskan ialah pasukan lawan seharusnya lebih berpuas hati dengan prestasi mereka berbanding kami. Maksud saya, kemenangan itu adil tetapi saya berasa pasukan lawan lebih gembira dengan corak permainan mereka berbanding kami dengan cara kami bermain. 

“Dalam kata lain, saya berpendapat walaupun kami layak untuk menang, namun pasukan lawan bermain lebih daripada potensi mereka manakala kami bermain di bawah kemampuan dan keupayaan sebenar,” katanya pada sidang media selepas perlawanan. 

Dalam perlawanan itu, pemain tengah berusia 26 tahun Ignacio Laquintana muncul wira La Celeste selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan pada separuh masa kedua, sekali gus menyelamatkan maruah pasukan ranking dunia ke-15 itu. 

Uruguay beraksi tanpa beberapa pemain utama akibat kecederaan dan masalah kesihatan termasuk pemain Atletico Madrid Jose María Gimenez, Darwin Nunez (Al-Hilal), Federico Valverde (Real Madrid), Ronald Araujo (FC Barcelona) dan Manuel Ugarte (Manchester United).

Selepas menentang Republik Dominika, Uruguay akan menamatkan jelajah mereka di Malaysia menentang Uzbekistan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Isnin (13 Okt).

“Memandangkan Uzbekistan sudah layak ke Piala Dunia dan semangat baharu dengan kehadiran jurulatih baharu, kami percaya perlawanan itu akan menjadi cukup mencabar,” kata Bielsa.

Sementara itu, bekas pengurus Leeds United itu turut memuji kemudahan stadium yang menjadi lokasi perlawanan malam tadi.

“Stadium ini sangat baik dan saya tidak menghadapi sebarang kesukaran serta tiada kritikan terhadap stadium tempat kami bermain,” kata jurulatih berusia 70 tahun kelahiran Argentina itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan