SUKAN > BERITA

Hukuman FIFA Tidak Jejas Rentak Harimau Malaya Benam Laos 3-0

09/10/2025 10:58 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Isu pendaftaran pemain yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menjejaskan semangat skuad kebangsaan apabila menewaskan Laos 3-0 pada perlawanan ketiga Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Vientiane, malam ini.

Tiga gol skuad Harimau Malaya dijaringkan oleh Arif Aiman Mohd Hanapi, ketua pasukan Dion Cools, dan pemain gantian Faisal Abdul Halim masing-masing pada separuh masa kedua, sekali gus membantu Malaysia meraih kemenangan ketiga berturut-turut.

Pada pertembungan di Stadium Nasional New Laos itu, Malaysia yang kehilangan khidmat tujuh pemain warisan susulan hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini, tetap tampil bertenaga sejak awal permainan dengan beberapa percubaan berbahaya ke arah kubu lawan.

Pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi terlebih dahulu menguji benteng pertahanan Laos pada minit ke-11, menyaksikan percubaannya tersasar selepas menerima hantaran Romel Morales, yang terlebih dahulu memanfaatkan kesilapan penjaga gol Kop Lokphathip.

Lima minit kemudian, tandukan Morales hasil sepakan percuma Arif Aiman sedikit melewati palang gol sebelum rembatan jarak dekat penyerang naturalisasi itu berjaya dihalang pertahanan Anantaza Siphongphan pada minit ke-21.

Morales sekali lagi berpeluang memecah kebuntuan pada minit ke-22, namun kuisan pantasnya untuk menyambar hantaran lintang Cools dari sebelah kanan tersasar ke kiri gawang.

Menjelang penghujung babak pertama, Malaysia yang dibimbing Peter Cklamovski mensia-siakan peluang terbaik apabila tampanan Morales dari jarak dekat hasil hantaran Cools tepat ke arah Lokphathip.

Jaringan yang ditunggu akhirnya tiba apabila rembatan leret Arif Aiman berjaya menembusi kawalan Lokphathip untuk membuka jaringan buat pasukan negara pada minit ke-53.

Tatkala disiplin permainan Laos semakin longgar, Cools menggandakan jaringan apabila meledak gol keduanya dalam kempen kelayakan ini untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia pada minit ke-68.

Pemain sayap gantian Mohamad Faisal Abdul Halim melengkapkan kemenangan 3-0 Malaysia apabila turut mencatat nama sebagai penjaring pada masa tambahan separuh masa kedua.

Pasukan negara akan melayani kunjungan Laos dalam aksi timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, Selasa depan.

Selepas tiga perlawanan, Malaysia kini mendahului Kumpulan F dengan sembilan mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (enam mata), Laos di tempat ketiga (tiga mata), dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan