BUKIT FRASER, 2 Okt -- Meskipun terlibat dalam insiden kemalangan kecil pada Peringkat Keempat semalam, pelumba pasukan St George Continental Cycling Team Tsen Ren Bao tetap muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia pada Peringkat Kelima perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Temerloh ke Bukit Fraser hari ini.
Pelumba berusia 22 tahun itu bagaimanapun meluahkan rasa tidak puas hati dengan prestasinya selepas ketinggalan di pendakian utama, yang turut menjadi penentu penting dalam perebutan Jersi Putih (Pelumba Asia Terbaik).
“Kemalangan semalam sebenarnya tidak menjejaskan saya. Cuma prestasi saya hari ini tidak cukup baik.
“Saya sedikit kecewa kerana terputus daripada kumpulan hadapan sedangkan sasaran saya hanya untuk menaiki podium bagi kategori Pelumba ASEAN Terbaik Peringkat Kelima,” katanya selepas perlumbaan.
Ren Bao menamatkan perlumbaan di tempat ke-44 dengan catatan masa tiga jam empat minit 20 saat pada Peringkat Kelima.
Mengulas mengenai baki tiga peringkat lagi, beliau mengakui peluang pasukannya untuk menamatkan saingan sebagai pasukan terbaik keseluruhan adalah tipis memandangkan hanya empat pelumba masih kekal dalam barisan utama.
“Kami perlu berlumba dengan bijak pada Peringkat Keenam dan Ketujuh kerana Peringkat Kelapan akan menjadi sangat mencabar dengan garisan penamat di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial