SUKAN > BERITA

LTdL 2025: Delbove Tawan Bukit Fraser, Rampas Jersi Hijau

02/10/2025 06:57 PM

BUKIT FRASER, 2 Okt (Bernama) -- Pelumba Perancis Joris Delbove menawan pendakian ke Bukit Fraser untuk muncul juara peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang meliputi jarak sejauh 123.1 kilometer (km) dari Temerloh hari ini.

Pelumba pasukan TotalEnergies itu mencatat masa tiga jam 25 saat untuk mengetepikan cabaran pelumba Uno-X Mobility, Anders Halland Johannessen dengan kelebihan dua saat manakala pelumba Switzerland Yannis Voisard dari Tudor Pro Cycling Team menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan masa yang sama.

Kemenangan peringkat kelima itu membantu Delbove merampas gelaran pendahulu keseluruhan (Jersi Hijau), sekali gus menamatkan penguasaan empat peringkat Matteo Malucelli dari pasukan XDS Astana Team sebagai pendahulu keseluruhan.

“Kami ke sini untuk memburu kemenangan keseluruhan (jersi) dan khususnya peringkat ini. Jadi kami mempunyai cita-cita besar, namun pada masa yang sama kekal realistik kerana saingannya amat sengit.

“Saya tahu ia akan menjadi sukar (untuk mencapai sasaran) namun saya masih berjaya melakukannya. Saya sangat gembira,” katanya selepas perlumbaan.

Jersi Jingga (Raja Pecut) kekal milik Malucelli manakala Jersi Polka Dot (Raja Bukit) masih dimiliki Patrick Eddy dari pasukan Team Picnic PostNL.

Sementara itu, Jersi Putih (Pelumba Asia Terbaik) bertukar tangan apabila pelumba XDS Astana, Nicolya Vinokurov berjaya merampasnya daripada wakil Terengganu Cycling Team (TSG), Vadim Pronskiy.

Pelumba St George Continental Cycling Team, Tsen Ren Bao muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia selepas menamatkan saingan di tempat ke-44, manakala pelumba Thailand Continental Cycling Team, Thanakhan Chaiyasombat yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-27, dinobatkan sebagai Pelumba ASEAN Terbaik bagi peringkat kelima.

Peringkat keenam perlumbaan bertaraf 2.Pro itu akan bersambung esok dari Shah Alam ke Port Dickson sejauh 123.5 km, melibatkan tiga zon pecut di Jenjarom, Banting dan Sungai Pelek.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan