KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Selangor FC mencatat kekalahan kedua berturut-turut dalam kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia 2 (ACL2) 2025/26 selepas tunduk 2-4 kepada Lion City Sailors dari Singapura pada aksi Kumpulan G di Stadium Bishan hari ini.
Skuad Gergasi Merah dikejutkan seawal minit ketujuh apabila penyerang Anderson Lopes menanduk masuk hantaran Maxime Lestienne, sebelum pemain kelahiran Brazil itu menambah gol kedua enam minit kemudian selepas menyambar bola muntah hasil rembatan Bart Ramselaar.
Selangor hampir merapatkan jurang menerusi Richmond Ankrah pada minit ke-24, namun percubaannya dalam keadaan kelam-kabut berjaya dipatahkan pertahanan tuan rumah, manakala rembatan Alvin Fortes pada minit ke-29 mudah diselamatkan penjaga gol Ivan Susak.
Kira-kira seminit kemudian, perlawanan terpaksa dihentikan akibat cuaca buruk, namun sebaik bersambung Selangor dihadiahkan penalti yang berjaya disempurnakan Chrigor Moraes pada minit ke-37.
Namun, Lopes melengkapkan hatrik menerusi gol pada masa kecederaan babak pertama sebelum menambah gol keempat peribadi pada minit ke-54 untuk meletakkan pasukan itu selesa mendahului 4-1.
Selangor yang dibimbing Pemangku Ketua Jurulatih Christophe Gamel berjaya menambah gol kedua menerusi Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-73, namun ia tidak cukup untuk menghalang tuan rumah daripada meraih kemenangan sulung dalam kumpulan.
Kekalahan itu menyaksikan Selangor yang sebelum ini tumpas 2-4 kepada Bangkok United, kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata, manakala Lion City Sailors naik di kedudukan pertama dengan berkongsi empat mata bersama Persib Bandung di tempat kedua.
Selangor akan berkunjung ke Bandung, Indonesia untuk membuat perhitungan menentang Persib Bandung pada aksi ketiga kumpulan dijadualkan pada 23 Okt ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial