SUKAN > BERITA

Malucelli Rangkul Kemenangan Dramatik Di Peringkat Tiga LTdL 2025

30/09/2025 07:42 PM

PASIR PUTEH, 30 Sept (Bernama) -- Pelumba XDS Astana Team, Matteo Malucelli, menebus kekecewaan semalam apabila muncul juara peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 hari ini menerusi penamat dramatik ‘photo finish’.

Perlumbaan sejauh 197 kilometer (km) dari Gerik ke Pasir Puteh menyaksikan pelumba Itali itu terpaksa bertarung sengit dengan jaguh Norway, Alexander Kristoff (Uno-X Mobility), menerusi penamat ‘photo finish’ selepas meluru ke garisan penamat dengan catatan masa empat jam 28 minit 04 saat.

Kristoff terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala rakan sepasukan, Erlend Blikra, melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dalam satu lagi penamat berkelompok.

Perlumbaan tersebut merupakan kemenangan kedua Malucelli selepas peringkat pertama di Langkawi, Ahad lalu, selepas dikecewakan oleh pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn, pada peringkat kedua semalam.

Mengulas perlumbaan hari ini, Malucelli mengakui tidak bermula dengan baik tetapi kembali menemui rentak pada penghujung saingan.

“Dalam perlumbaan, ada ketikanya situasi akan memihak kepada anda. Keadaan yang baik boleh berlaku terutama apabila anda berjaya menewaskan pelumba berstatus juara,” kata pelumba berusia 31 tahun itu selepas tamat perlumbaan.

Kejayaan di peringkat ketiga turut membolehkan Malucelli terus kekal menyarung jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan dan jersi jingga selaku Raja Pecut bagi tiga peringkat berturut-turut.

Sementara itu, jersi putih (pelumba Asia terbaik) bertukar tangan apabila pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Vadim Pronskiy, mengambil alih daripada rakan sepasukan, Nur Aiman Rosli.

Jersi polka dot selaku Raja Bukit juga bertukar milik apabila kini disarung Patrick Eddy dari Team Picnic PostNL selepas berkongsi 15 mata dengan Jambaljamts Sainbayar (Burgos-Burpellet-BH).

Pelumba negara dari St. George Continental Cycling Team, Tsen Ren Bao, pula muncul Pelumba ASEAN Terbaik bagi peringkat ketiga — kategori baharu yang diperkenalkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dianjurkan Malaysia.

Esok, saingan peringkat keempat perlumbaan berstatus 2.Pro itu akan diteruskan sejauh 141.5 km, melibatkan tiga zon pecut di Marang, Dungun dan Paka, selain satu zon pendakian di Kijal.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan