SUKAN > BERITA

LTdL 2025: Rantai Putus Tidak Halang Achik Raih Kedudukan Keenam Peringkat Kedua

29/09/2025 09:04 PM

KEPALA BATAS 29 Sept (Bernama) -- Pelumba Terengganu Pro Cycling (TSG) Wan Abdul Rahman Hamdan berjaya menamatkan perlumbaan peringkat kedua perlumbaan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Padang Besar ke Kepala Batas hari ini meskipun rantai basikalnya tertanggal pada dua kilometer terakhir.

Wan Abdul Rahman atau dikenali sebagai Achik berkata beliau bangkit untuk mengejar pelumba lain bagi menamatkan perlumbaan pada kedudukan keenam dengan catatan masa tiga jam 29 minit 59 saat (s) untuk muncul pelumba terpantas dari Asia hari ini, sekali gus meraih gelaran pelumba terbaik Malaysia dan ASEAN.

“Untuk kedudukan tadi dua kilometer terakhir Achik cuba ikut pelumba Astana tetapi terlepas sebab ada ahli pasukannya himpit dan rantai basikal Achik terjatuh.

“Jadi Achik naikkan balik rantai dan memang banyak guna tenaga untuk kejar pelumba lain dan berjaya dapat jadi pelumba peringkat Asia terbaik hari ini,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Ditanya mengenai peringkat ketiga esok, beliau mengakui laluan mendaki dari Gerik menuju ke Pasir Puteh bakal menjadi cabaran besar buat dirinya dan pasukan. 

Bagaimanapun beliau optimistik rakan sepasukan mampu mengharungi peringkat pendakian khususnya Vadim Pronskiy, Mathias Bregnhoj dan Adne Van Engelen yang dijangka menjadi sandaran TSG.

“Esok saya cuba mencari kedudukan selamat di Bukit Gerik. Kalau terlepas, saya akan cari kumpulan besar untuk sampai ke penamat,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan