SUKAN > BERITA

LTdL 2025: Malucelli Tawan Langkawi

28/09/2025 08:03 PM

LANGKAWI, 28 Sept (Bernama) -- Pelumba Itali Matteo Malucelli mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menguasai Peringkat Pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sejauh 96.7 kilometer (km) dari Kuah ke sekitar Pulau Langkawi di sini hari ini.

Pelumba berusia 30 tahun dari XDS Antana Team muncul lebih awal di garisan penamat dengan 2 jam 22 saat pada perlumbaan tertua Asia itu.

Pelumba Uno X Mobility Erlend Blikra dan wakil Tudor Pro Cycling Team Arvid de Kleijn muncul di tempat kedua dan ketiga dalam perlumbaan yang tamat dengan penyudah beramai-ramai.

Kejayaan hari ini membolehkan Malucelli menyarung Jersi HIjau selaku Pelumba Terbaik Keseluruhan dan muncul Raja Pecut dengan 15 mata.

“Kami bermula dalam keadaan hujan dan ia bukan cuaca terbaik untuk saya, tetapi tidak menjadi masalah. Keadaan semakin baik kilometer demi kilometer, dan cuaca panas ternyata memberi kelebihan.

"Anton Kuzmin melakukan kerja dengan baik apabila mengawal peloton. Dua pelumba pasukan termasuk Lev Gonov turut membantu saya,” katanya selepas perlumbaan hari ini.

Sementara itu, pelumba negara Muhammad Nur Aiman Rosli dari Terengganu Cycling Team (TSG) muncul Pelumba Terbaik Asia selepas mengumpul tiga mata di zon pecutan.

Ini merupakan Jersi Putih kedua berturut-turut diraihnya pada peringkat pertama, selepas melakukannya pada edisi lepas.

“Memang dalam perbincangan pasukan saya dapat arahan untuk buat pemecahan. Alhamdulillah, berjaya dapat bonus mata termasuk dua kali tempat pertama zon pecutan dan sekali tempat ketiga.

“Jadi, dapatlah jersi Asia ini. Harap saya boleh terus kekalkan prestasi terbaik untuk peringkat seterusnya,” said Nur Aiman.

Seorang lagi pelumba TSG Mohamed Harrif Saleh pula muncul Pelumba Asia Tenggara Terbaik Peringkat Satu iaitu kategori baharu diperkenalkan sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025. Mohamed Hariff menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan.

Peringkat Kedua LTdL 2025 esok membabitkan jarak 166.1km dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang membabitkan tiga zon pecutan di Jitra, Pendang dan Sungai Petani, Kedah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan