SUKAN > BERITA

Aaron-Wooi Yik 'Bermandi Peluh' Ke Suku Akhir Masters China

18/09/2025 11:45 PM

KUALA LUMPUR, Sept 18 (Bernama) -- Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dipaksa bermandi peluh sebelum melangkah ke suku akhir Masters China selepas menundukkan pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy pada aksi pusingan kedua, hari ini.

Bekas juara dunia itu bermula longlai apabila tewas set pertama 14-21, namun bangkit mempamerkan ketenangan untuk meraih kemenangan dalam dua set berikutnya 21-15, 25-23 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 72 minit.

Menanti Aaron-Wooi Yik di suku akhir esok ialah sama ada rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun atau beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana, yang akan turun beraksi lewat malam ini.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki berakhir selepas Leong Jun Hao tumpas di tangan pemain tuan rumah Li Shi Feng 11-21, 21-19, 8-21.

Turut tersingkir ialah beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang tewas kepada gandingan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping  21-16, 7-21, 10-21.

Sementara itu, beregu wanita negara Pearly Tan–M Thinaah mara ke suku akhir selepas mudah menundukkan pasangan Amerika Syarikat, Francesca Corbett–Jennie Gai 21-11, 21-8.

Pasangan nombor dua dunia itu bakal berdepan wakil Korea Selatan, Baek Ha Na–Lee So Hee yang menewaskan beregu negara, Ong Xin Yee–Carmen Ting 21-13, 21-9.

Dalam pada itu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun gagal melangkah ke suku akhir selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando–Bagas Maulana 19-21, 23-21, 14-21.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan