IPOH, 12 Sept (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) hari ini melancarkan jersi baharu skuad The Bos Gaurus bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26.
Presiden PAFA Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata pengenalan jersi baharu ini diharap dapat menyuntik motivasi tambahan kepada skuad kendalian Syamsul Saad untuk terus memberi saingan dalam liga.
“Jersi ini bukan sekadar pakaian di atas padang tetapi lambang identiti, kebanggaan dan semangat juang rakyat Perak yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan.
“Jersi baharu jenama Al Sport itu didatangkan dengan dua rekaan iaitu jersi kuning untuk beraksi di gelanggang sendiri, manakala jersi berwarna hitam akan digunakan bagi perlawanan di tempat lawan,” katanya selepas majlis pelancaran jersi itu di cawangan Al-Ikhsan di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Terdahulu, pelancaran jersi itu disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dengan kehadiran penyokong pasukan berkenaan.
Turut hadir Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Ketua Pembangunan Perniagaan Jenama Al‑Ikhsan Sports Anwar Mamtaj.
“Kami memang kekalkan warna kuning sebagai warna yang sinonim dengan kebanggaan negeri, mempunyai tiga belang berwarna hitam dan tertera logo Perak Sejahtera 2030.
“Jersi kedua menggunakan warna hitam melambangkan kekuatan, ketahanan dan semangat pantang menyerah pemain ketika di atas padang,” katanya.
Mohd Azhar berkata PAFA melahirkan rasa teruja dan berjanji akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk memastikan Perak kembali menjadi pencabar utama bola sepak tanah air.
Pelancaran jersi berkenaan turut diserikan dengan sesi bergambar antara pemain bersama penyokong serta sesi ramah mesra yang turut dihadiri bekas pemain Perak Danial Fadzly Abdullah dan Nazirul Naim Che Hashim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial