SUKAN > BERITA

Korea Selatan Sekat Langkah Speedy Tigers Ke Final Piala Asia

06/09/2025 10:16 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) --Hasrat skuad hoki lelaki negara melangkah ke pentas final Piala Asia 2025 berkecai selepas tewas 4-3 kepada Korea Selatan dalam aksi terakhir pusingan Super Four di Rajgir, India, hari ini.

Anak buah Sarjit Singh bermula garang apabila Fitri Saari meledak gol pembukaan pada minit kesembilan. Namun, Korea kembali bangkit menerusi pukulan sudut penalti Kim Hyeonghong (m-24).

Tidak lama kemudian, Nik Aiman Nik Rozemi mengembalikan kelebihan Malaysia (m-29) untuk menutup babak pertama dengan kedudukan 2-1.

Bersambung babak kedua, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan menambah gol ketiga hasil pukulan sudut penalti (m-31) sekali gus meletakkan Speedy Tigers selesa di depan.

Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Oh Seyong (m-44) dan Lee Jungjun (m-50) menyamakan kedudukan buat Korea.

Lebih perit, Hyeonghong sekali lagi menghukum Malaysia dengan pukulan sudut penalti (m-51) untuk memastikan kemenangan dramatik 4-3 buat Korea Selatan.

Kekalahan itu bermakna Malaysia terlepas tiket automatik ke Piala Dunia 2026 apabila hanya juara kejohanan berhak layak.

Speedy Tigers kini perlu bangkit dalam aksi penentuan tempat ketiga esok, menentang sama ada India atau China yang beraksi lewat malam ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan