KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Empat pendaki akan menguatkan pasukan Itali, Pro Team Polti-VisitMalta dalam penampilan kedua mereka di apabila bermulanya saingan getir lapan hari jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL25) yang dijadualkan bermula dari 28 Sept hingga 5 Okt ini.
Selepas gagal memberi impak pada edisi tahun lepas, pasukan berpangkalan di Sepanyol itu, yang dipengaruhi oleh legenda Ivan Basso dan Alberto Contador, menurunkan empat pendaki “serba boleh” yang berpotensi menyaingi Jersi Hijau keseluruhan individu dan gelaran Raja Bukit.
Davide Bais, pelumba Itali berusia 27 tahun, mengetuai pasukan dan pernah tiga kali menyertai Giro d’Italia serta memenangi peringkat ketujuh Giro pada 2023.
Ketua Pegawai Operasi LTdL25 Emir Abdul Jalal berkata strategi menghantar empat pendaki menunjukkan tekad pasukan untuk menyerlah selepas tenggelam pada penampilan pertama mereka tahun lepas.
“Banyak pasukan yang menyertai LTdL buat kali pertama ingin menunjukkan prestasi terbaik untuk menghargai jemputan penganjur serta berpeluang memperoleh mata tambahan untuk dijemput lagi pada masa depan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan penganjur, Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Tahun lalu, Polti gagal memenangi sebarang peringkat dan pelumba terbaik mereka, Fernando Lopez Tercero, 23, yang turut disenaraikan tahun ini, hanya menamatkan saingan di tempat keempat dalam klasifikasi keseluruhan individu LTdL24.
Selain Bais dan Tercero, dua pendaki lain Polti tahun ini ialah Alex Martin, 25, dan Dario Gomez, pelumba Jerman berusia 24 tahun.
LTdL25 akan berlangsung selama lapan peringkat, membabitkan jarak keseluruhan 1,243.5 kilometer (km) yang merentasi setiap negeri di seluruh Semenanjung Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial