SUKAN > BERITA

Ahmad Zahid Seru Rakyat Bersatu Sokong Wakil Negara Pada Final Kejohanan Badminton Dunia

31/08/2025 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu hati memberikan sokongan padu kepada dua wakil negara yang bakal beraksi di pentas akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, hari ini.

Ahmad Zahid berkata pencapaian beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei amat membanggakan kerana berjaya melangkah ke final pada hari sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

“Tahniah diucapkan kepada Pearly-Thinaah yang mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama negara layak ke final, serta gandingan mantap Tang Jie-Ee Wei yang turut melangkah penuh bergaya ke perlawanan akhir.

“Kehadiran mereka di pentas berprestij ini, tepat pada Hari Kebangsaan, ialah hadiah yang amat bermakna buat tanah air tercinta,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid berkata seluruh rakyat wajar terus memberikan doa dan semangat kepada kedua-dua pasangan itu agar menghadiahkan kemenangan bermakna untuk Malaysia.

“Ayuh, kita kibarkan semangat Merdeka di pentas dunia. Tunjukkan semangat Malaysia yang sejati, kekal bersatu dan bersoraklah untuk mereka,” katanya.

Pada aksi final hari ini, Tang Jie-Ee Wei dijadualkan berdepan dengan gandingan China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada 7 malam waktu Malaysia.

Sementara Pearly-Thinaah, yang kini menghuni ranking kedua dunia, akan menentang pasangan nombor satu dunia dari China Liu Sheng Shu-Tan Ning pada 8.40 malam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan