KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) akan membawa cabaran Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Thailand dari 9 sehingga 20 Dis ini.
Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata gabungan dua pasukan profesional tempatan itu akan turut disertai beberapa pelumba pasukan kebangsaan.
Beliau berkata menerusi gabungan itu, skuad negara ke Sukan SEA 2025 akan dibarisi lima pelumba TSG serta dua pelumba masing-masing daripada MPC dan pasukan kebangsaan.
“Ini satu berita yang sangat gembira kepada semua pihak dalam sukan berbasikal negara khususnya PKBM sendiri.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pasukan yang telah mengambil satu inisiatif bahawa mewakili negara adalah satu tanggungjawab yang penting,” katanya pada sidang media di Wisma OCM di sini hari ini.
Lima pelumba TSG ialah Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff, Muhammad Nur Aiman Rosli, Kee Zhe Yie, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan Wan Abdul Rahman Hamdan.
Sementara dua pelumba MPC ialah Muhammad Syawal Mazlin dan Muhammad Zawawi Azman, manakala Tsen Ren Bao dan Amir Kamal daripada skuad kebangsaan.
Ketua jurulatih TSG Mohd Saiful Anuar Aziz dipilih sebagai ketua jurulatih skuad negara ke Sukan SEA 2025 dan jurulatih kebangsaan Yusoff Nasir sebagai pembantunya.
Sebelum ini, pengurus pasukan MPC Sayuti Zahir enggan menerima tawaran berkolaborasi dengan skuad kebangsaan sekiranya syarat dan peranan yang diberikan tidak meyakinkan.
Difahamkan, syarat yang ditetapkan sebelum ini melibatkan penggunaan basikal bagi acara ujian masa selain bajet persediaan.
Sebagai rekod, skuad berbasikal lebuh raya negara meraih satu emas dalam acara lepas beramai-ramai lelaki, satu perak (kriterium lelaki) dan dua gangsa masing-masing dalam acara kriterium wanita dan lepas beramai-ramai wanita, pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial