SUKAN > BERITA

Sukan SEA Pekak 2025: Selamat Malam Jakarta, Jumpa Di Malaysia 2027

26/08/2025 12:19 AM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

JAKARTA, 25 Ogos (Bernama) — Tirai Sukan SEA Pekak 2025 melabuhkan tirainya malam ini dalam suasana penuh simbolik di Gedung Olahraga (GOR) Universitas Negeri Jakarta (UNJ), menandakan penutup perjalanan penuh emosi, kenangan dan semangat kebersamaan atlet serta pegawai pekak serantau pada edisi kedua temasya itu.

Upacara penutup disemarakkan dengan nyanyian lagu kebangsaan Indonesia Raya sebelum kontinjen negara peserta berarak masuk sambil mengibarkan panji-panji kebanggaan masing-masing, sekali gus mengulang ikatan persaudaraan yang terjalin sejak temasya bermula pada 21 Ogos lalu.

Perarakan dimulakani dengan Timor Leste, diikuti Brunei, Thailand, Laos, Filipina, Malaysia dan berakhir dengan tuan rumah, Indonesia.

Kontinjen Malaysia tampil bergaya dengan jaket rasmi kontinjen negara dan baju berwarna emas, manakala atlet lompat kijang Zaiman Megat Abu diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang, diiringi Ketua Kontinjen, Sarkunan Balakrisnan yang juga Naib Presiden MSDeaf.

Ucapan penutup disampaikan Naib Presiden Sukan SEA Pekak 2025, Gheska Prahara; Presiden Persekutuan Sukan Pekak Asia Tenggara (ADSF), Kamarzaman Harun serta Pesuruhjaya Suruhanjaya Kebangsaan Orang Kurang Upaya, Jonna Aman Danamik.

Sorakan dalam gaya komuniti pekak bergema ketika api obor temasya dipadamkan, diikuti penyerahan bendera ADSF daripada Indonesia kepada Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah edisi 2027 di Pulau Pinang.

Ini kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah selepas edisi sulung di Kuala Lumpur pada 2022.

Walaupun berlangsung dalam skala sederhana, majlis penutup tetap meriah dengan persembahan kebudayaan dua negara sebelum pasukan Fantasi Tuli menutup acara penuh emosi, membuktikan kekurangan bukan penghalang menyumbang bakti kepada negara.

Bagi kontinjen Malaysia, Jakarta menjadi saksi kejayaan luar biasa apabila menamatkan cabaran dengan 25 pingat emas, sekali gus muncul juara keseluruhan.

Daripada jumlah itu, 10 pingat emas diraih menerusi olahraga, boling (lapan), catur (lima) dan badminton (dua).

Pencapaian tersebut bukan sahaja melepasi sasaran awal 16 emas, malah mengangkat Malaysia sebagai kuasa baharu sukan pekak serantau.

Lebih manis, pencapaian 25 emas turut diserikan dengan 16 perak dan 11 gangsa, simbol kejayaan gemilang kontinjen negara pada edisi kali ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan