SUKAN > BERITA

Sukan SEA Pekak 2025: Kasih Ibu Di Sebalik Emas Catur Malaysia

23/08/2025 10:10 PM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

JAKARTA, 23 Ogos (Bernama) -- Kasih dan sayang seorang ibu tiada penghujung.

Ungkapan ini menggambarkan secara tepat kehidupan pemain catur muda negara Loo Pin Xie, 20, yang berjaya merangkul pingat emas dalam kategori standard di Sukan SEA Pekak 2025 di sini hari ini.

Kemenangan itu memperlihatkan ketabahan, disiplin dan paling utama, kasih sayang seorang ibu, Ng Kwi Chuan, 54, yang sentiasa berada di sisi menyokong setiap langkah Pin Xie.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia serta rakan-rakan dan keluarga yang telah memberi semangat dan sokongan kepada saya.

“Untuk pengetahuan semua, saya disahkan pekak sejak berusia tiga tahun dan individu yang sentiasa bersama adalah ibu saya. Ibulah yang menemani saya ke setiap pertandingan catur,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ng berkata beliau pernah bekerja sebagai jurutera komputer sebelum meletakkan jawatan untuk menjadi suri rumah ketika Pin Xie berusia tujuh tahun untuk memberi tumpuan penuh kepadanya.

Wanita itu berkata beliau tidak pernah menyesal dengan keputusan berkenaan dan menganggap sudah menjadi tanggungjawabnya untuk terus berperanan sebagai pelindung, termasuk terbang ke Jakarta demi memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Dia belajar membaca gerak bibir dan pada awalnya kami ingat Pin Xie hanya mengalami masalah pertuturan. Namun setelah dirujuk ke juruterapi pertuturan, barulah disahkan telah kehilangan pendengaran. Jadi, kami mahu sentiasa ada di sampingnya.

“Paling penting, dia suka bermain catur, jadi kami hanya menyokong apa sahaja minatnya. Bila dia menunjukkan prestasi yang baik dan membuahkan hasil, kami lebih bersemangat untuk terus menyokongnya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil Malaysia, Ainnur Asyikin Jupineh turut mencatat kejayaan apabila merangkul pingat emas dalam acara catur standard wanita.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan