PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Keputusan sama ada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan mendapat lampu hijau daripada kerajaan untuk melanjutkan kontrak penganjuran perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia pada tahun hadapan bergantung kepada pengumpulan data secara terperinci mengenai pulangan pelaburan sepanjang tempoh penganjurannya.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata penganjuran acara berprestij itu meraih sambutan yang cukup menggalakkan, namun SIC masih perlu meyakinkan pulangan yang diterima memberi manfaat secara menyeluruh.
"Semua ini memerlukan data untuk meyakinkan Kementerian Kewangan bahawa ada pulangan pelaburan. Bila kita keluarkan pelaburan, kita tandatangan semua ini bukan sahaja dari segi (untuk meningkatkan) pelancongan, ia membantu menyokong ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
"Seperti MotoGP, kira-kira 4,500 peluang pekerjaan sementara dapat dijana setiap tahun. Namun, kita juga mahu ada kemahiran diturunkan kepada rakyat, jadi sebab itu pengumpulan data penting dan SIC kena pastikan semua ini dicatat bagi meyakinkan Kementerian Kewangan bahawa ia bukan satu pembaziran," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 di sini hari ini.
Malaysia membawa kontinjen kedua terbesar ke Sukan SEA Pekak di Jakarta dari 20 hingga 26 Ogos selepas tuan rumah, Indonesia dengan secara keseluruhan, kontinjen negara merangkumi 53 atlet serta 27 pegawai yang akan beraksi dalam enam acara sukan iaitu futsal, olahraga, badminton, tenpin boling, catur dan pingpong.
Semalam, media melaporkan SIC kini dalam proses rundingan bersama pemegang hak penganjuran MotoGP, Dorna Sports bagi memperbaharui kontrak GP Malaysia yang akan tamat pada 2026.
Sementara itu, Hannah menaruh harapan tinggi kepada barisan atlet badminton negara untuk menampilkan prestasi cemerlang di Kejohanan Dunia di Paris yang akan berlangsung dari 25 hingga 31 Ogos ini.
"Saya yakin pemain badminton kita boleh beraksi dengan baik terutama yang berada dalam Program Road To Gold (RTG), tetapi saya juga berharap pemain tidak berada dalam keletihan kerana kita tahu kalendar badminton sangat padat.
"Macam mana pun, mereka perlu terus bermain untuk berada di dalam RTG dan saya selalu mendoakan agar tidak ada sebarang kecederaan kepada atlet kita," katanya.
Antara atlet badminton yang berada dalam RTG ialah Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Pearly Tan-M. Thinaah, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial