SUKAN > BERITA

Kejohanan Dunia 2025: Rosman Fokus Persiapan, Tidak Mahu Fikir Soal Lawan Pearly-Thinaah

15/08/2025 02:11 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak tidak mahu terlalu memikirkan laluan pasangan Pearly Tan-M Thinaah yang dianggap mendapat undian mudah pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis, dari 25 hingga 31 Ogos ini.

Beliau berkata tumpuan utama ketika ini adalah memastikan anak buahnya itu sentiasa bersedia menghadapi setiap perlawanan pada kejohanan berprestij berkenaan.

“Pendirian saya masih sama, kita tidak mahu berfikir terlalu jauh. Kita tidak mahu fokus siapa lawan yang akan kita jumpa.

“Apa yang perlu kita buat adalah untuk persiapan pemain-pemain pada kejohanan itu. Kita perlu pastikan mereka benar-benar bersedia dan fokus pada hari perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan kebangsaan hari ini.

Terdahulu, pada majlis undian yang berlangsung Rabu lepas, Pearly-Thinaah mendapat laluan mudah apabila dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir.

Pilihan kedua itu mendapat bye pada pusingan pertama dan dijangka berdepan pasangan ranking ke-14 dunia dari Indonesia Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti di suku akhir, dengan rekod pertemuan memihak kepada gandingan negara berkenaan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai persiapan beregu wanita menjelang kejohanan dunia itu, Rosman berkata segala perancangan yang dilakukannya bersama barisan kejurulatihan berjalan sempurna.

Beliau turut memaklumkan tiada sebarang kecederaan yang dialami beregu wanita negara yang terlibat pada kejohanan berkenaan.

Selain Pearly-Thinaah, Malaysia turut diwakili Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dan kedua-dua pasangan beregu wanita negara itu mendapat bye pada pusingan pertama.

Untuk rekod, Malaysia masih belum pernah meraih pingat dalam acara beregu wanita pada kejohanan dunia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan