KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Skuad bola sepak kebangsaan menarik diri daripada menyertai Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang akan berlangsung di Tajikistan dari 29 Ogos hingga 8 Sept ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat susulan perubahan tarikh perlawanan yang kini bermula di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sehingga memberikan cabaran dalam segala aspek kepada skuad kebangsaan, memandangkan kelab-kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka
"Perubahan tarikh yang berlaku pada saat akhir ini telah menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.
"Situasi ini secara langsung menjejaskan usaha kami untuk membentuk skuad terbaik bagi kejohanan berkenaan, lebih-lebih lagi apabila beberapa pemain utama kami beraksi di liga-liga utama seperti di Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun," menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski berkata penarikan diri daripada menyertai Piala Negara-Negara CAFA merupakan keputusan tepat dan skuad Harimau Malaya akan memberi fokus sepenuhnya kepada kem latihan menjelang aksi penting menentang Laos dan Nepal pada Okt dan Nov.
“Kita memiliki pemain yang beraksi di liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun. Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jendela ini," katanya.
Skuad Harimau Malaya dijadual menyambung baki saingan Kumpulan F bagi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Vientiane pada 9 Okt dan di sini (14 Okt) sebelum bertemu Nepal di Kathmandu (18 Nov).
Pasukan kebangsaan kemudian akan berdepan Vietnam di tempat lawan pada Mac tahun depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial