SUKAN > BERITA

Sokongan RTG Dapatkan Tempat Latihan Kondusif Untuk Pemain Profesional Langkah Tepat - Liu Ying

22/06/2025 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Bekas pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying menyifatkan inisiatif Jawatankuasa Road to Gold (RTG) membantu pemain badminton profesional di bawah naungan mereka memperoleh kemudahan latihan yang lebih kondusif sebagai langkah tepat dan amat penting.

Liu Ying, yang pernah bergerak secara profesional sebelum ini, berkata cabaran utama dihadapi pemain yang tidak berada dalam skuad kebangsaan adalah kekurangan kemudahan asas serta ketiadaan khidmat sokongan yang lengkap.

“Saya boleh sahkan bahawa sebagai pemain bebas, kemudahan yang digunakan tidak setaraf dengan apa yang dinikmati pemain dalam skuad kebangsaan.

“Sebelum layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pun, kami mendapatkan bantuan daripada Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara kerana kami memerlukan bukan sahaja tempat latihan yang lebih privasi, tetapi juga pasukan sokongan yang lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kidslympic Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Liu Ying bersama pasangannya Chan Peng Soon sebelum ini mencipta sejarah muncul wakil beregu campuran negara pertama memenangi pingat di Sukan Olimpik dengan menyumbang perak pada edisi Rio 2016.

Walaupun meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2018, mereka tetap berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020, yang merupakan penampilan terakhir mereka pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Jawatankuasa RTG akan membantu pemain badminton profesional mendapatkan tempat latihan lebih kondusif memandangkan kebanyakan mereka ketika ini berlatih di tempat terbuka dan terdedah kepada orang ramai.

Liu Ying pada masa sama berkata penyediaan khidmat sokongan tambahan seperti fisioterapi oleh RTG turut membantu pemain profesional mengekalkan prestasi meskipun berdepan jadual padat sehingga terpaksa menyertai tiga hingga empat kejohanan sebulan.

Mengenai Kidslympic Malaysia 2025, pengasas bersama temasya sukan untuk kanak-kanak tersebut menyasarkan penyertaan 5,000 peserta dari seluruh negara yang akan berhimpun dan bersaing di Stadium Merdeka, di sini, dari 10 hingga 12 Okt ini.

Katanya antara jenis sukan ditawarkan dalam Kidslympic Malaysia 2025 adalah olahraga, gimnastik bola tampar dan bola keranjang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan