SUKAN > BERITA

Piala Negara-negara FIH 2025: Peluang Speedy Tigers Tamatkan Saingan Di Tempat Kelima

20/06/2025 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Malaysia mara ke perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Lelaki 2025 selepas menewaskan Afrika Selatan 4-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.

Pada perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan itu, skuad kendalian Sarjit Singh membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Syed Mohd Syafiq Syed Cholan pada minit ke-15.

Afrika Selatan kemudiannya menyamakan kedudukan hasil jaringan Angelo Walstroom pada minit ke-30 namun tujuh minit kemudian, pemain pertahanan negara, Shafiq Hassan mengembalikan kelebihan menerusi jaringan padang hasil bantuan bijak Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

Akhimullah Anuar Esook tampil menambah gol ketiga pada minit ke-40 selepas menyempurnakan gerakan cantik Norsyafiq Sumantri.

Meskipun Carlon Mentoor berjaya merapatkan jurang buat Afrika Selatan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-51, Malaysia akhirnya memastikan kemenangan mutlak apabila pemain berpengalaman, Mohammad Fitri Saari menyempurnakan jaringan padang dua minit kemudian.

Malaysia seterusnya akan bertemu Wales yang menewaskan Jepun 6-4 dalam satu lagi aksi klasifikasi hari ini.

Dalam perlawanan berkenaan, Jolyon Morgan menyerlah selaku penjaring terbanyak selepas meledak hatrik menerusi jaringan padang pada minit ke-21, 34 dan 45 manakala Fred Newbold (minit kesembilan), Sam Welsh (34’) dan Gareth Furlong (59’) turut menyumbang gol untuk Wales.

Jepun pula meraih empat gol menerusi Ryoma Ooka (20’), Koji Yamasaki (30’), Kazumasa Matsumoto (32’) dan Kosei Kawabe (60’). 

Sementara itu, Sarjit mengakui permainan anak buahnya agak goyah biarpun menumpaskan Afrika Selatan. 

"Saya rasa aksi pada separuh masa pertama agak goyah. Kedua-dua pasukan beraksi dengan baik kemudiannya, namun kami mengambil peluang sebaik mungkin. Kami mendapat tiga mata penting. Saya rasa pujian harus diberikan kepada para pemain selepas apa yang berlaku pada perlawanan sebelum ini kerana beza jaringan, menyebabkan kami gagal layak (separuh akhir).

“Ya, Wales semakin meningkat prestasinya. Mereka ada tiga, empat pemain skuad Great Britain. Ia pasukan yang bagus dengan beberapa pemain yang berkualiti, tetapi seperti yang saya katakan, sasaran kami adalah untuk ke separuh akhir. Kami tidak layak ke separuh akhir, jadi kami perlu dapatkan tempat kelima. Tempat kelima sangat penting," kata Ketua Jurulatih Malaysia itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan