SUKAN > BERITA

Aaron-Wooi Yik Berpotensi Rampas Gelaran Nombor Satu Dunia

20/06/2025 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Woi Yik berpotensi untuk merampas kedudukan utama dunia apabila turun beraksi di Terbuka Jepun dan China, bulan depan.

Ketua jurulatih beregu lelaki Herry Iman Pierngadi berkata gelaran nombor satu dunia bukan saja pencapaian membanggakan tetapi turut memberikan kelebihan dari segi undian menjelang Kejohanan Dunia di Paris pada 25 hingga 31 Ogos nanti.

“Aaron-Wooi Yik sekarang di ranking kedua dunia dan itu sudah cukup baik untuk bantu mereka mendapatkan laluan lebih baik di Kejohanan Dunia.

“Kalau mereka boleh capai ranking nombor satu dunia sebelum itu, kenapa tidak? Sudah tentu ia lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini hari ini.

Aaron-Wooi Yik menghuni ranking kedua dunia dengan 89,870 mata, ketinggalan 1,220 mata di belakang rakan senegara yang juga pasangan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Sementara itu, Herry berkata kedudukan nombor satu bukan menjadi keutamaan buat gandingan negara ketika ini sebaliknya adalah untuk memastikan mereka benar-benar bersedia dalam setiap kejohanan disertai.

Aaron-Wooi Yik muncul juara dunia pada edisi 2022 di Tokyo, Jepun selepas mengecewakan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-14.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan