SUKAN > BERITA

Skuad B-15 Negara Sertai Dua Kejohanan Jemputan Australia Julai Ini

20/06/2025 03:20 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Skuad bawah 15 tahun (B-15) kebangsaan telah terpilih untuk menyertai dua kejohanan penting iaitu Kejohanan Emerging Matildas 2025 dan Kejohanan Emerging Socceroos 2025 di Australia, bulan depan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan ia merupakan kali pertama sebuah pasukan kebangsaan dijemput oleh penganjur Football Australia untuk menyertai kejohanan remaja yang dijenamakan semula itu.

Menurut FAM, pasukan B-15 negara di bawah kendalian Javie Jordan Ribera akan turun menentang pemain muda terbaik Australia di Valentine Sports Park, Sydney dan Home of the Matildas di Universiti La Trobe, Melbourne.

“Malaysia telah mengesahkan hasrat menyertai kedua-dua kejohanan tersebut yang merupakan satu langkah bersejarah mengukuhkan rangka kerja pembangunan bola sepak Australia dan mempertingkatkan kerjasama antarabangsa di rantau ini,” menurut FAM dalam kenyataan hari ini.

FAM memaklumkan jadual perlawanan dan senarai pemain untuk kedua-dua kejohanan itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Kejohanan Emerging Matildas berlangsung pada 6 hingga 11 Julai di Home of Matildas manakala Kejohanan Emerging Socceroos 2025 membuka tirai pada 15 hingga 20 Julai di Valentine Sports Park.

Sementara itu, Presiden FAM Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata badan induk itu berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif penting bersama Football Australia.

"Peluang untuk bertanding dalam Kejohanan Emerging Matildas dan Emerging Socceroos mencerminkan komitmen bersama kita terhadap pembangunan akar umbi dan kerjasama serantau.

“Kejohanan ini memberikan pendedahan sangat berharga kepada bakat muda kami dan membolehkan kami memperkukuh hubungan bola sepak dengan Australia, sebuah negara yang berkongsi visi dalam pembangunan pemain muda," katanya dalam kenyataan sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan