SUKAN > BERITA

Badrul Afzan Razali Dilantik Ketua Jurulatih Baharu TFC

15/06/2025 09:23 PM

KUALA TERENGGANU, 15 Jun (Bernama) -- Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFC) hari ini mengumumkan Badrul Afzan Razali sebagai ketua jurulatih skuad Penyu bagi musim 2025/2026.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB Syahrizan Mohd Zain berkata pelantikan itu, bagi tempoh berkuat kuasa 1 Julai 2025 hingga 31 Mei tahun depan.

Beliau berkata dengan pelantikan itu, bekas pengendali sementara Terengganu FC (TFC) musim lepas itu, akan menggalas tanggungjawab menbentuk pasukan daripada barisan kejurulatihan hingga pemilihan pemain.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor penting untuk memastikan kelab mampu bergerak dengan lebih cemerlang dalam mengharungi saingan Liga Malaysia.

“TFC akan memulakan latihan pada 1 Julai ini. Diharap beliau (Badrul Afzan) dapat meneruskan prestasi baik, seterusnya membawa lebih kejayaan untuk pada musim ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Badrul Afzan berkata beliau optimis dapat membawa skuad Penyu ke peringkat lebih baik pada musim ini.

Beliau berkata TFC bakal tampil dengan beberapa muka baharu bagi memperkuat pasukan, sekali gus merebut kejuaraan dalam Liga M serta memburu slot kejohanan ASEAN dan Asia musim 2025/2026.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak kelab yang telah memberi kepercayaan untuk mengendalikan pasukan utama Terengganu.

“Walaupun bakal berdepan cabaran besar, saya bertekad untuk memperbaiki pencapaian musim lepas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan