IPOH, 15 Jun (Bernama) -- Akademi Wira Muda dinobat juara Kejohanan Bola Sepak Piala XCRIIM 2025 Peringkat Kebangsaan, selepas menumpaskan pasukan KPSA A 2-0 dalam perlawanan akhir kategori bawah 12 tahun yang berlangsung di padang Taman Dr. Seenivasagam, di sini, hari ini.
Kemenangan itu membolehkan pasukan dari Pulau Pinang itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 piala pusingan, pingat, sijil penyertaaan serta kelengkapan sukan.
Pasukan KPSA A yang terpaksa berpuas hati sebagai naib juara kejohanan, menerima RM500, pingat, sijil penyertaan serta kelengkapan sukan.
Tempat ketiga dimenangi pasukan MBI SC B kendalian Awal Hadi Roslan yang menumpaskan pasukan USI FC 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.
Kejayaan itu membolehkan pasukan berkenaan meraih wang tunai berjumlah RM300 beserta pingat, sijil penyertaan dan kelengkapan sukan.
Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah kejohanan yang dianjurkan oleh XCRIIM dan Akademi Bola Sepak DRZ itu telah disempurnakan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak Mazlan Mohamad.
Bagi kategori bawah umur 10 tahun, pasukan Gombak Boy muncul pemenang selepas menumpaskan pasukan ATM10 3-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung semalam.
Kejuaraan itu membolehkan pasukan dari Selangor itu meraih RM1,000, piala pusingan, pingat, sijil penyertaaan serta kelengkapan sukan.
ATM 10 yang meraih tempat kedua membawa pulang RM 500 pingat, sijil penyertaan serta kelengkapan sukan.
Tempat ketiga pula disandang Raintown FC yang berjaya menumpaskan MBI SC A 1-0 sekali gus membawa pulang hadiah kejohanan berjumlah RM300, beserta pingat, sijil penyertaan dan kelengkapan sukan.
Sebanyak 71 pasukan dari seluruh negara menyertai kejohanan melibatkan kategori bawah umur 10 dan 12 tahun yang berlangsung semalam dan hari ini.
Objektif utama penganjuran kejohanan itu bukan hanya bertujuan mengasah bakat pemain, malah menjadi platform dalam mengetengahkan potensi bakat-bakat muda terbabit ke peringkat yang lebih tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial