SEREMBAN, 13 Jun (Bernama) -- Negeri Sembilan FC (NSFC) melantik bekas pengendali Selangor FC, Mohd Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih pasukan itu bagi menghadapi saingan musim 2025/2026.
Pengerusi NSFC Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pemilihan Mohd Nidzam, 45, adalah usaha berterusan kelab itu dalam memperkukuh persediaan pasukan dan menetapkan hala tuju baharu yang lebih progresif dan mampan.
“Mohd Nidzam berpengalaman luas dalam landskap bola sepak tempatan sama ada sebagai bekas pemain kebangsaan mahu pun jurulatih berprofil tinggi.
“Kepakaran beliau dalam pembangunan pemain muda dan pendekatan taktikal yang moden diyakini mampu memperkasakan NSFC dalam menghadapi saingan Liga Super yang semakin kompetitif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata selain berkhidmat sebagai ketua jurulatih untuk pasukan Merah Kuning, Mohd Nidzam turut berpengalaman mengemudi pasukan Felda United, Air Asia FC dan KL SPA FC.
Dalam pada itu, Aminudin berkata NSFC turut menandatangani beberapa pemain utama termasuk penyerang Luqman Hakim Shamsudin, penjaga gol Muhd Azri Abd Ghani dan pemain pertahanan Ahmad Khuzaimi Piee.
“Sebagai sebahagian pelan strategik jangka panjang, NSFC memberi fokus kepada pembangunan bakat muda tempatan terutama pemain muda negeri dan ia disokong barisan kejurulatihan dan pemain senior sekali gus memastikan pemain muda dibimbing secara menyeluruh dalam dan luar padang,” katanya.
Beliau berkata bagi memperkuat skuad Hobin Jang Hobin juga, barisan pemain import sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan tidak lama lagi.
“Kehadiran pemain import itu akan melengkapkan struktur pasukan dengan keseimbangan antara pengalaman antarabangsa, kepimpinan di atas padang dan sumbangan teknikal yang mampu mengangkat mutu permainan keseluruhan,” katanya.
Aminuddin berkata gabungan pemain muda berpotensi, pemain tempatan berpengalaman dan import yang berkaliber itu dijangka membentuk sebuah pasukan yang lebih kompetitif, seimbang dan berdaya saing tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial