SUKAN > BERITA

Aksi Persahabatan Menentang Wales Medan Ujian Terakhir Speedy Tigers

11/06/2025 12:25 PM

SHAH ALAM, 11 Jun (Bernama) -- Ketua jurulatih pasukan hoki kebangsaan Sarjit Singh mahu menjadikan perlawanan persahabatan menentang Wales pada Jumaat ini sebagai medan ujian terakhir pemain sebelum memulakan kempen Kejohanan Piala Negara-Negara 2025.

Beliau berkata kesemua 20 pemain akan diberikan peluang untuk beraksi pada perlawanan itu sebagai kesinambungan kepada dua jelajah yang dilalui sebelum ini.

“Kita akan bagi peluang kepada semua 20 pemain yang akan beraksi pada Piala Negara-Negara, hanya untuk menguji mereka sebab kita dah pergi Jelajah Australia dan Jelajah Korea Selatan sebelum ini.

“Setakat ini motivasi pemain sangat tinggi. Sudah hampir setahun lebih saya bersama dengan pasukan ini. Jadi kami faham antara satu sama lain dan boleh dikatakan pasukan ini semakin hari semakin baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan 10 kenderaan jenama Mazda oleh Bermaz Auto kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Kenderaan itu akan digunakan oleh pegawai-pegawai yang terlibat sepanjang Kejohanan Piala Negara-Negara 2025 yang akan berlangsung dari 15 hingga 21 Jun ini.

Sarjit dalam pada itu berkata pihaknya meletakkan fokus pada dua perlawanan awal masing-masing menentang Pakistan pada Ahad ini dan New Zealand keesokan harinya sebagai penanda aras sebelum menentukan sasaran buat skuad Speedy Tigers dalam kempen berkenaan. 

“Kalau ikut cara mudah, kalau kita menang dua perlawanan awal sudah tentu kita ke separuh akhir tapi semua pasukan sudah tentu mahukan kemenangan,” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama New Zealand, Jepun dan Pakistan, manakala Kumpulan A dibarisi Perancis, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Wales.

Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ketujuh pada edisi lepas di Gniezno, Poland.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan